Berita

Seniman Pyanhabib meninggal dunia

- Diterbit 4 Jun 2024 10:47 AM MYT

PENYAIR dan pelakon, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Hulu Kelang, Selangor pada Selasa.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Sinaganaga Ben Hussain yang dipercayai rakannya di aplikasi Facebook.

“Abang Pyanhabib telah meninggal dunia, al-Fatihah,” katanya.

Dalam pada itu, berita pemergian berkenaan turut dikongsi oleh Exco Selangor, Mohd Najwan Halimi di media sosialnya.

“Dukacita dimaklumkan seniman Pyanhabib Rahman baru saja menghembuskan nafas terakhir di kediaman beliau di Hulu Kelang sebentar tadi.

“Sesungguhnya kita datang dari ALLAH dan kepada ALLAH jua kita akan kembali,” katanya.

Pyanhabib dilahirkan pada 27 Mei 1958 di Taiping, Perak berjaya membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.

Beliau dipercayai hilang pendengarannya ketika berusia 12 tahun setelah diserang demam panas.

Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham adalah Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015). – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas