Biz

Puzzle rumah jadi tarikan

- Diterbit 15 Disember 2023 12:05 PM MYT

RUMAH tradisional meliputi 14 negeri di Malaysia mempunyai keunikan dan keindahan tersendiri yang melambangkan kehalusan seni bina, sejarah dan identiti pada setiap kumpulan etnik di negara.

Pelbagai peranan dimainkan pihak kerajaan dan agensinya dalam memartabatkan rumah-rumah tradisional di Malaysia antaranya dengan menghasilkan produk kraf tangan berkonsepkan puzzle.

Tampil membawa keunikan dalam produk kraf tempatan, Nurilham Teknik Resources menghasilkan rumah tradisional setiap negeri secara puzzle menggunakan plywood dan lazer cut.

Pegawai pemasarannya, Muhammad Naqib Selamat berkata ia menampilkan 13 buah rumah tradisional di Malaysia mengikut justifikasi pembuatan asal rumah hasil rujukan daripada pihak Kraftangan Malaysia.

“Segalanya bermula apabila pihak kami menerima tempahan khas daripada pihak Kompleks Kraf Melaka untuk menghasilkan produk mini rumah Melaka sebagai cenderahati untuk sebuah majlis.

“Antara puzzle rumah tradisional yang kita ada adalah Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Perlis sementara yang mendapat sambutan dan permintaan tinggi adalah rumah tradisional Johor dan Melaka.

“Ini kerana, kedua-dua rumah dari negeri tersebut mempunyai keunikan dari segi reka bentuk. Misalnya, negeri Johor terkenal dengan rumah limas, kita dapat lihat dari segi rekaan bumbungnya yang berbentuk tirus seperti piramid. Kalau rumah Melaka pula adalah pada bahagian tangga yang menggunakan tangga batu selain enam struktur bangunan yang terdiri daripada enam batang tiang utama,” kongsinya kepada Wilayahku.

Menurut Naqib, pelanggan akan mendapat satu set puzzle yang belum dipasang bersama beberapa peralatan lain seperti pisau, gam dan aksesori tambahan dengan harga RM60.

“Kebiasaannya setiap pelanggan akan mengambil masa selama 30 hingga 45 minit untuk menyiapkan sebuah rumah. Walau bagaimanapun, kita turut menyediakan cara untuk memudahkan pelanggan memasangnya,” ujar Muhammad Naqib. – WILAYAHKU

Info:
Lokasi: Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka
Media sosial: @nurilhamteknik
Telefon: 06-233 9619

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas