PUTRAJAYA merupakan antara lokasi pilihan bagi mereka yang suka kan aktiviti sukan lasak dan ekstrem. Selain Taman Cabaran yang mengumpulkan empat disiplin utama seperti papan luncur‚ mendaki tembok tiruan‚ Bicycle Motorcross (BMX) dan Mountain Bike (MTB)‚ kini terdapat satu lagi destinasi wajib singgah iaitu Putrajaya Wetland Adventure Park.
Terletak di kawasan hijau di sekitar Wetland Putrajaya‚ pusat tarikan yang baharu sahaja dibuka pada 17 Ogos lalu menawarkan pelbagai aktiviti mencabar yang menjanjikan pengalaman menakjubkan kepada para pengunjung.
Menurut pemiliknya‚ Mohd Nor Arif Mohd Azmi‚ antara aktiviti menarik yang ditawarkan adalah flying fox‚ leap of faith‚ abseiling dan wall climbing.
“Kelainan pada aktiviti di sini adalah kita mempunyai flying fox terpanjang iaitu 420 meter.
“Bagi aktiviti flying fox minimum berat yang disarankan adalah 30 kilogram (kg) dan 110kg adalah berat maksimum. Ia juga bersesuaian untuk kanak-kanak berumur 10 tahun dan ke atas.
“Selain itu‚ leap of faith pula adalah salah satu lagi tarikan yang akan menguji keberanian anda untuk melompat dari ketinggian 15 meter (m) dan menangkap tali yang disediakan. Pastinya pengalaman ini tidak dapat dilupakan.
“Bukan sahaja keberanian tapi ia juga membuktikan sejauh mana anda percaya dengan diri sendiri menerusi aktiviti tersebut. Bagi mereka yang gayat pastinya mencabar adrenalin anda untuk melakukannya‚” katanya kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut‚ Arif berkata aktiviti abseiling pula menawarkan pengalaman turun dari ketinggian 15m dengan cara yang selamat dan terkawal.
“Aktiviti tersebut memerlukan kemahiran serta ketepatan kerana peserta akan turun menggunakan tali dari struktur yang tinggi.
“Selain itu‚ untuk cabaran fizikal yang memerlukan kekuatan dan kecekapan‚ kita mempunyai aktiviti rock climbing dengan ketinggian 10m.
“Dinding panjat yang pelbagai tingkat ini direka untuk memberi cabaran kepada pendaki daripada pelbagai tahap kemahiran. Aktiviti ini sesuai untuk mereka yang baru belajar sehinggalah pemanjat yang berpengalaman dan ia bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga strategi serta keazaman‚” ujarnya.
Jelasnya‚ setiap aktiviti dirancang khusus untuk pengunjung yang ingin menguji keberanian sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Putrajaya.
Berkongsi soal keselamatan‚ Arif berkata aktiviti yang ditawarkan adalah bersesuaian untuk golongan dewasa mahupun kanak-kanak.
“Di setiap lokasi aktiviti‚ kita letakkan seorang atau dua orang pekerja yang terlatih di mana penerangan ringkas mengenai tatacara untuk melakukan aktiviti tersebut akan diberikan terlebih dahulu kepada setiap individu manakala seorang lagi staf akan tunggu di bawah. Keselamatan anda semua terjamin‚ itu janji dan keutamaan kami‚” ujarnya.
Tambah Arif‚ Putrajaya Wetland Adventure Park mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Putrajaya dan sekitarnya terutama pada hujung minggu.
“Kita bukan sahaja menjadi pilihan anak muda malah mereka yang berkeluarga serta kumpulan kakitangan awam dan swasta juga tidak melepaskan peluang mengunjungi lokasi ini.
“Susulan itu‚ kita melanjutkan harga promosi yang sepatutnya berakhir pada 31 Ogos lalu ke 30 September bagi memberi peluang kepada lebih ramai penggemar sukan lasak untuk mencuba aktiviti yang ditawarkan dengan harga yang rendah.
“Kita tawarkan sebanyak 40 peratus diskaun buat para pengunjung‚ untuk 13 tahun ke atas RM50 (asal RM88) manakala kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun hanya RM30 (RM68)‚” katanya.
Dalam pada itu‚ Arif mengharap-kan taman pengembaraan ini bakal menjadi satu tarikan terbaharu di Putrajaya yang mampu menarik lebih ramai pelancong serta membantu menaikkan ekonomi di pusat pentadbiran ini.
“Orang Putrajaya dan sekitarnya‚ jangan lupa untuk datang ke Putrajaya Wetland Adventure Park sementara promosi masih ada. Anda pasti dapat healing sambil melakukan aktiviti sihat bersama rakan atau keluarga‚” ujarnya. – WILAYAHKU