Berita

Putrajaya Wetland Adventure Park: Destinasi cabar adrenalin

PELBAGAI aktiviti menarik menanti pengunjung
- Diterbit 26 Ogos 2024 12:02 PM MYT

WILAYAH Persekutuan Putrajaya kini menambah satu lagi tarikan pelancongan terbaharu iaitu Putrajaya Wetland Adventure Park yang pastinya menarik perhatian penggemar aktiviti lasak.

Terletak di kawasan hijau yang subur di sekitar Wetland Putrajaya, taman pengembaraan yang baru saja dirasmikan ini menawarkan pelbagai aktiviti mencabar yang menjanjikan pengalaman menakjubkan kepada para pengunjung .

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, pelancaran Putrajaya Wetland Adventure Park sekali gus membuktikan komitmen pihaknya dalam memajukan sektor pelancongan dan rekreasi di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

“Antara aktiviti yang ditawarkan di sini adalah flying fox, leap of faith, abseiling dan wall climbing.

“Setiap aktiviti ini dirancang khusus untuk pengunjung yang ingin menguji keberanian sambil menikmati keindahan alam semula jadi di Putrajaya,” ujar beliau.

Fadlun berkata flying fox merupakan aktiviti pengembaraan udara yang menarik dengan pemandangan menakjubkan yang mana pengunjung akan meluncur dengan pantas dari satu checkpoint ke checkpoint lain, merasai hembusan angin segar sambil menikmati panorama landskap di bawah.

“Aktiviti ini bukan sahaja mencabar adrenalin anda, tetapi juga memberi peluang untuk melihat keindahan di sekitar Taman Wetland dari sudut yang berbeza.

“Leap of faith pula adalah salah satu lagi tarikan yang menanti pengunjung di sini. Aktiviti ini menguji keberanian anda untuk melompat dari ketinggian tertentu dan menangkap tali yang disediakan yang pastinya tidak dapat dilupakan.

“Seterusnya, abseiling menawarkan pengalaman turun dari ketinggian dengan cara yang selamat dan terkawal. Aktiviti ini memerlukan kemahiran dan ketepatan kerana peserta akan turun menggunakan tali dari struktur yang tinggi.

“Ia adalah peluang untuk menguji kemahiran dan ketenangan anda dalam situasi yang mendebarkan sambil menikmati pemandangan sekitar yang indah.

“Akhir sekali, wall climbing di Putrajaya Wetland Adventure Park. Ia memberikan cabaran fizikal yang memerlukan kekuatan dan kecekapan.

“Dinding panjat yang pelbagai tingkat ini direka untuk memberi cabaran kepada pendaki daripada pelbagai tahap kemahiran. Aktiviti ini sesuai untuk mereka yang baru belajar hinggalah pemanjat yang berpengalaman. Ia bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal tetapi juga strategi dan keazaman,” ujarnya.

Dengan pelancaran ini, Fadlun berkata Putrajaya Wetland Adventure Park mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama untuk aktiviti pengembaraan dan rekreasi.

“Buat mereka yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan harga promosi sehingga 31 Ogos ini, kita tawarkan sebanyak 40 peratus diskaun buat para pengunjung, untuk dewasa berumur 13 tahun ke atas RM50 (asal RM88) manakala kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun hanya RM30 (RM68).

“Jadi, jika anda sedang mencari pengalaman pengembaraan yang mencabar dan menyeronokkan, jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti-aktiviti di Putrajaya Wetland Adventure Park. Rasai sendiri keseronokan serta cabaran yang ditawarkan!” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas