PUTRAJAYA merupakan salah satu lokasi paling sinonim dalam kalangan peminat sukan berbasikal. Selain untuk kesihatan, berbasikal sambil melihat keindahan panorama di kawasan tersebut dapat menenangkan fikiran.
Sehubungan itu, bagi merancakkan lagi aktiviti berbasikal, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif mengadakan Putrajaya Inter-Park Ride (PIPR) 2024 baru-baru ini bertempat di Taman Botani, Putrajaya.
Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, PIPR yang pertama kali diperkenalkan pada 30 Mei 2010 itu kini telah menjangkaui penganjuran kali ke-33, membuktikan ia kekal sebagai acara yang dinantikan ramai.
“Sambutan orang ramai amat menggalakkan, lebih 800 peserta mendaftar bagi penganjuran edisi kali ini.
“Dengan laluan kayuhan yang selamat, peserta PIPR dapat menikmati suasana landskap taman awam yang memukau serta kekayaan flora dan fauna sepanjang laluan sejauh 25 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan bersempena Program PIPR edisi ke-33.
Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut serta melepaskan peserta PIPR yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur.
Zaliha berkata, penganjur PIPR ini adalah dalam usaha merealisasikan aspirasi C.H.A.S.E City khususnya dalam bidang Healthy City.
“Selesai sesi flag-off, saya berkesempatan mengadakan lawatan sekitar Taman Botani.
“Berkeluasan 92 hektar, Mother of All Gardens ini merupakan salah satu Taman Botani terbesar di Malaysia dan berkonsepkan floral attractions yang menghimpunkan lebih 750 spesies tumbuhan daripada 13 koleksi tema tumbuhan yang berasal dari benua-benua berbeza.
“Selain Taman Botani, saya turut singgah ke Moroccon Pavillion Islamic Garden yang diinspirasikan daripada warisan, reka bentuk budaya serta seni bina Maghribi.
“Menariknya, Astaka Morocco ini menghimpunkan seni bina Afrika Utara yang menakjubkan sekali gus mewujudkan suasana tipikal Maghribi,” katanya.
Dalam pada itu, Fadlun berkata PIPR bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah membuka peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman mereka di media sosial.
“Mereka menjadi duta kecil dalam memperkenalkan Putrajaya ke peringkat global dengan mempromosikan lokasi rekreasi serta budaya tempatan,” ujar beliau. – WILAYAHKU