Berita

Putrajaya FOI bakal himpun lebih 80 pemimpin

- Diterbit 26 November 2024 1:16 PM MYT

FESTIVAL Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) dijangka menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum dan sidang selari menerusi Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata terdapat lima forum bakal mengambil tempat sepanjang tiga hari penganjuran iaitu berkisarkan pengenalan idea, kisah kejayaan idea serta reformasi perkhidmatan awam.

“Platform berprestij ini akan membincangkan isu-isu semasa dengan kesemua mereka yang menjadi moderator dan panel ini akan berkongsi pandangan, pengalaman dan idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi negara dan dunia.

“Turut bakal berlangsung, 10 sidang selari dengan menyentuh topik berkaitan ekonomi, pendidikan, diplomasi antarabangsa, kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), TVET, transformasi pendigitalan, keterjaminan makanan, kelestarian alam serta konteks MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya antara pengisian lain adalah Putrajaya FOI Talk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bersama dua panel lain membincangkan mengenai ‘Idea Anak Muda Malaysia’ seterusnya merasmikan program pada 28 November ini.

“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja di Putrajaya FOI pada hari terakhir program iaitu 29 November 2024.

“Antara tetamu kehormat dan panel/moderator yang dijadualkan hadir adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Genius Muda, Universiti Malaya, Izz Imill Shahrom dan ramai lagi,” ujarnya.

Dalam pada itu, KPT turut berharap dengan pengisian-pengisian ini akan mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu.

“Penganjuran program berprestij ini sebagai usaha signifikan bagi memartabat pendidikan tinggi serta memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan wacana intektual dan inovasi,” katanya.

Putrajaya FOI bakal membuka tirai bermula 27 hingga 29 November 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pukul 9 pagi sehingga 6 petang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas