Putrajaya

Putrajaya bandar paling bahagia

KOR MING (tengah) bersama Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud (tiga kiri) yang mewakili Putrajaya selepas dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia bagi kategori Majlis Bandaraya dan Perbandaran.
- Diterbit 26 Mac 2025 9:58 PM MYT

PUSAT pentadbiran Persekutuan, Putrajaya, diumumkan sebagai Bandar Paling Bahagia dalam kategori Majlis Perbandaran dan Bandaraya sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2025.

Daerah Telupid, Sabah pula dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia 2025 menewaskan penyandang terdahulu, Cameron Highlands.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Indeks Kebahagiaan Malaysia mencatat peningkatan sebanyak lima mata, iaitu daripada 83.3 peratus pada 2020 kepada 88.84 peratus pada 2025.

“Walaupun Kerajaan MADANI sentiasa cakna dan komited dalam membangunkan ekonomi negara, kita lebih menitikberatkan kebahagiaan rakyat.

“Ekonomi yang pesat berkembang tidak bermakna jika rakyat tidak berasa bahagia,” katanya.

Beliau berkata Indeks Kebahagiaan Bandar di negara ini mula dilaksanakan pada 2015 melalui sistem MURNInets dan mengikut kriteria yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kriteria pengukuran indeks itu selaras dengan pengukuran kebahagiaan di peringkat dunia yang memberi fokus kepada pelbagai aspek seperti tahap tekanan hidup, tahap kesihatan, hubungan kekeluargaan serta kepuasan terhadap kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh pemimpin setempat.

“Dapatan terkini itu mendapati sebahagian besar bandar di Malaysia menunjukkan peningkatan dari segi indeks kebahagiaan selaras usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan persekitaran yang lebih kondusif.

“Saya difahamkan bagi pengukuran Indeks Kebahagiaan 2025, sebanyak 153 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyertai kaji selidik indeks ini. Tahniah saya ucapkan.

“Dari segi pencapaian, 75 peratus bandar telah mencapai Tahap Bahagia dan 25 peratus mencapai Tahap Sederhana Bahagia. Ini jelas menunjukkan peningkatan positif dalam usaha kita mewujudkan komuniti yang lebih harmoni dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, berkongsi inisiatif Kerajaan MADANI bagi meningkatkan kebahagiaan rakyat, Kor Ming berkata antara usaha yang dilaksanakan adalah mencapai sasaran membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM), melaksanakan 6,000 projek pembangunan infrastruktur awam asas serta menutup 2,500 tapak pelupusan sampah haram.

“Kerajaan MADANI terus komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat kekal sebagai keutamaan menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi untuk dinikmati oleh semua lapisan rakyat,” katanya.

Mengenai aspek perancangan dan pembangunan bandar, beliau berkata PlanMalaysia terus komited melaksana dan merealisasikan perancangan bandar serta desa yang seimbang, terangkum, pintar, berkonsepkan bandar rendah karbon dan mampan.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertekad menjadikan Malaysia sebagai negara yang bersih, selamat dan dicintai oleh semua.

“Dengan semangat ‘Prihatin dan Kebersamaan’, marilah kita terus berganding bahu membina negara yang lebih bahagia, harmoni dan sejahtera untuk semua,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas