PERSATUAN Pustakawan Malaysia (PPM) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak 116 buah buku kepada tiga kiosk buku terpilih dalam usaha menggalakkan aktiviti pembacaan dalam kalangan masyarakat melalui kempen yang bermula pada 23 April tahun lepas.
Pustakawan Kanan Perpustakaan Kuala Lumpur merangkap ahli jawatankuasa Sekretariat Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) Anita Mohd Jali berkata buku-buku itu adalah hasil sumbangan daripada pihak PPM, Perpustakaan Universiti Malaya (UM) dan Perpustakaan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
“Kita mengambil semangat Kuala Lumpur (KL) sebagai ibu kota buku dunia untuk menggalakkan orang ramai membaca, dan sekiranya mereka ada buku yang tidak digunakan boleh juga diletakkan di kiosk sedia ada untuk dibaca oleh orang ramai.
“Kami juga mengadakan jadual berkala iaitu tiga kali sebulan untuk memantau kiosk buku di sekitar KL. Walaupun program ini akan tamat pada 22 April nanti, tapi kita harapkan program ini akan berterusan bagi memupuk minat membaca dalam kalangan penduduk di sekitar KL,” katanya kepada Bernama selepas meletakkan sumbangan di kiosk buku berhadapan Taman Eko Rimba, Jalan Raja Chulan, di sini.
Anita berkata pihaknya dalam usaha membuat penambahbaikan dengan meletakkan sistem Kod QR di setiap kiosk buku supaya pihaknya mendapat statistik yang lebih tepat tentang penggunaan buku.
Buku sumbangan itu turut diletakkan di dua lagi kiosk buku iaitu di stesen bas di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Taman Tasik Titiwangsa yang turut dihadiri oleh Naib Presiden 1 PPM Siti Sumaizan Ramli, Pengurus Maklumat Bahagian Pengurusan Maklumat Bernama Hasnita Ibrahim serta Penolong Ketua Pustakawan Perpustakaan UM Shamsiah Abu Bakar.
“Saya juga ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya bersama-sama menjaga kemudahan yang kami telah sediakan ini supaya lebih ramai orang dapat membaca dan selesa ketika mengggunakan kiosk buku ini,” kata Anita.
Dalam pada itu, Siti Sumaizan mengharapkan para penulis buku untuk menggunakan kelebihan mereka dalam mempromosi kiosk buku yang disediakan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu kepada para pengikut di laman sosial bagi menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.
“Kita tahu penulis buku banyak pengikut (dalam laman sosial), jadi kita mohon mereka menguar-uarkan program ini kepada pengikut mereka,” katanya.
Sementara itu, kebanyakan orang awam yang ditemui mengharapkan inisiatif itu diteruskan untuk jangka masa panjang agar budaya membaca terus dipupuk sekali gus membuatkan masyarakat gemar membaca buku.
Muhammad Dausia Abdullah, 62, yang merupakan pengguna tegar kiosk buku di Jalan Raja Muda Abdul Aziz memuji inisiatif berkenaan, malah amalan membaca sudah lama diterapkan dalam diri, keluarga dan cucunya.
“Saya memang selalu baca buku di sini (kiosk buku)…sudah hampir lima buah buku saya baca. Saya rasa program ini memang bagus dan terbaik,” katanya. – BERNAMA