Berita

Pusat simulasi bencana pertama negara siap 99%

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 17 Disember 2024 4:50 PM MYT

PUSAT Latihan Simulasi Bencana pertama negara yang terletak di Pulau Meranti, Selangor dijangka sipa Februari tahun depan.

Projek di bawah seliaan Jabatan kerja Raya (JKR) negeri Selangor yang dimulakan pada Oktober 2021 itu kini mencapai kemajuan 99 peratus.

Pusat itu bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan yang kedua di rantau Asean selepas Singapura.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata objektif pusat latihan itu dibina adalah bagi melatih dan memantapkan kepakaran pegawai dan anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Ini juga supaya Malaysia sentiasa dalam keadaan bersedia sewaktu berhadapan dengan pelbagai situasi bencana dan kecemasan.

“Projek ini merupakan milik Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Pusat itu memiliki keupayaan membuat simulasi pelbagai senario bencana yang akan menjadi asas kepada latihan yang komprehensif dan berdasarkan situasi sebenar bencana (near-reality).

“Fasiliti dan teknologi yang akan melengkapkan pusat itu dijangka menyokong semua keperluan bagi
memudahkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan INSARAG (International Search and Rescue Advisory Group),” katanya yang membuat tinjauan ke tapak pembinaan pusat berkenaan.

INSARAG ialah badan di bawah Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UN) yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkenaan operasi bencana rentas sempadan.

Modul latihan simulasi yang disediakan dalam projek itu adalah Modul Kereta Kabel (modul menyelamat kemalangan kereta kabel), Modul Hazmat (modul
menyelamat di kawasan yang terdapat bahan-bahan berbahaya) dan Modul Menyelamat Kemalangan Keretapi Bawah Tanah.

Selain itu latihan lain yang disediakan ialah Modul Menyelamat Bangunan Runtuhan Penuh, Modul Menyelamat Bangunan Runtuhan Pelbagai, Modul Menyelamat Bangunan Separa Runtuh, Modul Menyelamat Bangunan Condong dan Menara ‘Abseiling’.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap momentum kerja yang telah dicapai dikekalkan atau dipertingkatkan agar projek ini dapat disiapkan tepat atau lebih awal dari jadual yang ditetapkan.

“Di samping kekal menjamin mutu, kos dan rekod keselamatan di tapak pembinaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas