PENGOPERASIAN Pusat Penyembelihan Ayam Putrajaya (PPAP) yang terletak di Jalan P20A, Presint 20 dibuka secara rasmi pada Sabtu ini (15 Julai).
Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj), TPr Norzita Abdul Razak, pembinaan pusat penyembelihan ini merupakan inisiatif pihaknya bagi membantu peniaga dan pengguna dalam menangani kenaikan harga barangan runcit khususnya ayam segar.
“Objektif pusat penyembelihan ini adalah bagi membolehkan bekalan ayam segar disembelih di kawasan berdekatan dengan kawasan jualan selain untuk mengurangkan kos pengangkutan agar dapat menyumbang kepada penurunan harga jualan.
“Selain itu, penyediaan fasiliti pusat sembelihan turut dijangka berupaya memastikan bekalan ayam segar kepada peniaga kecil di pasar Putrajaya dan juga komuniti setempat secara berterusan,” ujarnya kepada Wilayahku.
Norzita berkata pembangunan pusat penyembelihan ini berjaya direalisasikan hasil ilham oleh Presiden PPj melalui pengubahsuaian Bangunan Pusat Penyimpanan Peralatan PPj sedia ada kepada Pusat Penyembelihan Ayam yang berkeluasan 1,419 kaki persegi selain dilengkapi dengan kemudahan Tangki Septik gred A, bekalan elektrik serta air, longkang dan kemudahan lain.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pusat ini dilengkapi dengan kemudahan mesin-mesin berkaitan penyembelihan ayam yang berupaya memproses sehingga kapasiti 5,000 sehari.
“Kapasiti tersebut dijangka berupaya menampung permintaan ayam segar daripada penduduk sekitar Putrajaya dengan harga yang lebih rendah berbanding pasaran semasa.
“Penubuhan pusat ini dijangka memberi impak positif kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dalam kalangan penduduk sekitar Putrajaya di samping dapat membantu peniaga kecil ayam dan pengusaha makanan di sini,” tambah beliau insentif sewaan minima turut dikenakan kepada pengusaha berkelayakan yang dilantik.
Terdahulu, sebagai meraikan kehadiran bakal peruncit atau pemborong ke sini, pengusaha yang dilantik, Syarikat MAH menawarkan jualan promosi pembukaan bagi ayam segar yang telah siap diproses secara runcit dan borong dengan harga serendah RM8.50 sekilo pada 15 dan 16 Julai 2023.
Sebarang pertanyaan dan tempahan, sila hubungi talian 011-3666 9377. – WILAYAHKU