Oleh SABRINA SABRE
PEMILIHAN Putrajaya sebagai lokasi Kongres Perancangan Kebangsaan 2023 atau National Planning Congress (NPC) 2023 merupakan satu keputusan tepat memandangkan pusat pentadbiran negara itu merupakan penanda aras kepada pembangunan dan pentadbiran sesebuah bandar baik di peringkat dalam negara mahupun antarabangsa.
Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, Putrajaya menjadi tuan rumah (host city) NPC2023 kerana infrastrukturnya yang moden dan canggih, keberkesanan dalam mengendalikan acara kebangsaan, sokongan daripada kerajaan dan pertubuhan profesional, pemilihan lokasi yang strategik, keindahan dan keunikan bandar serta sokongan daripada pertubuhan antarabangsa.
“NPC2023 merupakan salah satu acara utama bagi Pertubuhan Perancang Bandar (MIP) yang diadakan pada bulan November setiap tahun bersempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia (HPBS) atau World Town Planning Day (WTPD).
“Objektif utama acara ini adalah untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan penemuan terkini dalam bidang perancangan bandar, meningkatkan kesedaran tentang pentingnya perancangan bandar yang baik dan berkesan dalam pembangunan negara, memberikan peluang untuk membangunkan rangka kerja dan hubungan antara profesional perancangan, agensi kerajaan dan pihak swasta, menyediakan peluang untuk membincangkan isu-isu kritikal dalam perancangan bandar serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Tema yang telah dipilih pada tahun ini adalah Perancangan Untuk Malaysia Madani, Memacu SDG2030 di mana ia akan membincangkan mengenai peranan perancang bandar dalam mewujudkan bandar yang berdaya huni (livable), mampan (sustainable) dan komuniti yang saksama,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
Selain itu, beliau berkata tema NPC2023 juga selaras dengan agenda kemampanan Malaysia dengan garapan sasaran pemecutan pencapaian matlamat SDG2030 terutamanya SDG 11 (bandar dan Komuniti Mampan) dan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dalam merealisasikan visi Pembangunan Malaysia Madani.
“Kongres ini akan menjadi platform perbincangan isu-isu perancangan terkini dan pembentangan projek-projek yang telah dilaksanakan dari pelbagai negara yang akan memberi peluang kepada delegasi untuk bertukar idea dan berkolaborasi dalam strategi untuk memastikan bandar-bandar dirancang dengan baik dan kondusif bagi mencapai kesejahteraan yang menyeluruh,” tambahnya penganjuran kongres pada tahun ini turut disokong oleh Commonwealth Association of Planners (CAP) dan Eastern Regional Organisation for Planning and Human Settlement (EAROPH).
Dalam masa sama, Fadlun memaklumkan bersempena NPC tahun ini, CAP telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah untuk Perhimpunan Agung yang diadakan pada 10 November 2023 di Putrajaya.
“Para peserta Kongres Perancangan Kebangsaan 2023 juga akan dapat menikmati pelbagai program sampingan dan lawatan ke kawasan Putrajaya yang menarik seperti Galeri Putrajaya Story, Chocolate Shoppe @ Souq, Cruise Tasik Putrajaya dan GL@W Glamping di Taman Wetland,” ujar beliau ia adalah cara yang hebat untuk memperkenalkan Putrajaya sebagai destinasi pelancongan yang mesti dilawati.
Lebih menarik, selain daripada perbincangan panel yang menampilkan 34 orang penceramah pakar dan moderator dari Malaysia dan lima pakar dari luar negara, reruai pameran oleh Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia dan agensi lain juga turut disediakan untuk maklumat dan sebaran ilmu.
Terdahulu, seramai 500 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai kumpulan profesional dan bukan profesional, swasta dan agensi-agensi kerajaan termasuk persatuan penduduk dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) menghadiri NPC2023 yang diadakan di Kompleks PPj.
Turut hadir menyempurnakan majlis, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali. – WILAYAHKU