PUSAT Mediasi Komuniti Putrajaya (PMK) menjadi bukti komitmen kerajaan dalam membina masyarakat yang harmoni, toleransi dan bersatu padu.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata mediasi komuniti adalah salah satu cara yang efektif untuk menyelesaikan konflik atau perselisihan secara aman dan berhemah tanpa perlu melalui proses undang-undang yang rumit dan memakan masa.
“Melalui pendekatan mediasi, pihak-pihak bertelagah diberi ruang untuk berdialog, berbincang dan mencapai penyelesaian yang adil serta damai secara situasi menang-menang.
“Inisiatif itu penting dalam menjaga hubungan sesama komuniti khususnya Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya.
“Peranan mediator profesional dan berkecuali akan membantu mengelakkan perselisihan kecil daripada menjadi konflik besar yang boleh mengancam keharmonian komuniti,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata proses mediasi turut membantu mendidik masyarakat tentang pentingnya sikap toleransi dan persefahaman dalam menyelesaikan isu-isu yang mungkin timbul akibat perbezaan pandangan, budaya atau kepercayaan.
“Ini menggalakkan hubungan yang lebih baik di antara anggota masyarakat sekali gus memupuk perpaduan yang lebih erat dalam kalangan pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
“Bagi mendapatkan khidmat PMK, individu terbabit hanya perlu menghubungi pusat mediasi berkenaan untuk mendapatkan tarikh janji temu. Tiada bayaran dikenakan,” ujarnya.
Perkhidmatan mediasi telah mula diperkenalkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sejak 2007 dan sehingga kini terdapat lapan PMK di seluruh negara.
JPNIN telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi melatih warga rukun tetangga, pegawai JPNIN dan pemimpin agama dengan kemahiran mediasi.
Setakat ini, seramai 571 mediator komuniti berjaya ditauliahkan dan memberi khidmat secara sukarela tanpa apa-apa bayaran.
Sementara di PMK Putrajaya, terdapat 33 mediator komuniti yang memainkan peranan secara aktif berkhidmat kepada komuniti. – WILAYAHKU