PUSAT Mediasi COVID-19 (PMC-19) mampu membantu menyelesaikan pertikaian antara dua pihak yang terkesan, akibat langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam membendung penularan pandemik COVID-19, dengan pantas.
Pengurus PMC-19 Sufian Hassan berkata, pusat itu diwujudkan kerajaan sebagai platform bagi memudahkan orang awam termasuk golongan peniaga, menyelesaikan pertikaian mereka disebabkan ketidakupayaan melaksanakan obligasi kontrak tanpa perlu melalui proses mahkamah.
Sufian berkata masih ramai yang belum mengenali peranan PMC-19 dan ini merupakan cabaran pihaknya, untuk menerangkan perkhidmatan yang ditawarkan khususnya dalam membantu rakyat Malaysia yang terkesan, ketika pandemik tersebut.
“Platform mediasi adalah penyelesaian alternatif yang pantas dan telah banyak diamalkan di seluruh dunia, serta proses ini banyak membantu kes-kes yang tertunggak di mahkamah.
“Istilah mediasi ini jarang digunakan, akan tetapi jika kita lihat kebanyakkan kes yang diselesaikan di luar mahkamah, ia juga merupakan proses mediasi,” katanya di dalam Temu Bual Radio terbitan Bernama Radio, hari ini.
PMC-19 itu ditubuhkan khusus untuk menangani pertikaian komersial bagi kategori kontrak, sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 7 Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 (Akta 829), iaitu kontrak kerja pembinaan, kontrak perundingan pembinaan dan kontrak lain berhubung pembekalan bahan, kelengkapan atau pekerja pembinaan, berkaitan dengan suatu kontrak pembinaan.
Akta 829 telah diwartakan pada 23 Okt 2020 dan ia antara lain, memberi relif kepada obligasi kontrak yang tidak dapat dilaksanakan, akibat langkah-langkah Kerajaan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 bagi tempoh yang ditetapkan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.pmc19.gov.my atau kunjungi facebook pusat itu di Pusat Mediasi Covid-19. – BERNAMA