JABATAN Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menaik taraf Pusat Masakan KEMAS menjadi Pusat Daya Maju (PDM) yang menjadi tumpuan aktiviti kemahiran masyarakat di pulau ini.
Pengarah Bahagian Pendidikan Kemahiran KEMAS, Dr Zainal Abidin Ali berkata pusat yang sebelum ini dikenali sebagai kelas kemahiran masakan kini lebih berfungsi sebagai pusat tumpuan masyarakat.
“Pusat ini menyediakan peralatan memasak yang lengkap sebagai platform kepada masyarakat setempat terlibat secara aktif dalam meningkatkan ekonomi dan pendapatan keluarga.
“Dalam masa yang sama, mereka juga boleh menggunakan peralatan yang disediakan oleh KEMAS secara optimum,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Daya Maju Masakan Labuan di Pusat Kegiatan KEMAS, Kampung Pantai pada Sabtu.
Majlis pelancaran tersebut disempurnakan Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek mewakili Senator Tan Sri Anipah Aman.
Menurut Simsudin, program tersebut mencerminkan sinergi atau kesepakatan antara KEMAS dan masyarakat dalam menghayati semangat kerjasama bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat luar bandar.
Turut diadakan pada majlis itu ialah penyampaian Geran 1 Program 1 Kampung, Usahawan Bantuan Gerai Lipat sebanyak RM4,000 kepada lima orang penerima.
Pelbagai aktiviti lain turut diadakan melibatkan penyertaan masyarakat Labuan antaranya pertandingan memasak, pertandingan mewarna kanak-kanak, Pertandingan Aneka kerabu, Pertandingan Puding Merdeka dan Pertandingan Renjis Merdeka.
Hadir sama Pengarah KEMAS Wilayah Persekutuan, Asri Salleh dan Pegawai KEMAS Wilayah Persekutuan Labuan, Gilbert Julian. – WILAYAHKU