Berita

Pusat Latihan Kebangsaan dijangka siap 2027

HAMIDIN (kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semasa Majlis Pecah Tanah NTC FAM di Presint 5, Putrajaya.
- Diterbit 9 Julai 2024 4:41 PM MYT

SKUAD bola sepak kebangsaan bakal mendapat infrastruktur latihan terbaik apabila Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) di Presint 5, Putrajaya dijangka siap pada Disember 2027.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan Projek NTC dengan kos keseluruhan RM69 juta itu merangkumi pembinaan dua fasa dengan Fasa 1 dibiayai Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah AS$5.2 juta (kira-kira RM24 juta) manakala Fasa 2 menggunakan peruntukan RM45 juta daripada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Fasa 1 NTC dijadualkan siap menjelang Disember 2026 dan Fasa 2 menjelang Disember 2027.

“Fasa 1 Projek NTC yang dilaksanakan oleh syarikat tempatan RS Green Master (M) Sdn Bhd merangkumi pembinaan tiga padang bola sepak dengan jenis rumput berbeza iaitu rumput asli (Bermuda), hibrid dan tiruan serta dilengkapi lampu limpah sepenuhnya dan sistem saliran berkualiti, landskap serta pagar setinggi enam meter di sekeliling kawasan padang.

“Fasa 2 pula akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 membabitkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi merangkumi gimnasium, ruang serba guna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau, selain pembinaan bumbung bagi padang rumput tiruan yang dibina pada Fasa 1,” ujar beliau.

Selain itu, Hamidin berkata Projek NTC FAM bakal menjadi sebahagian daripada bandar bola sepak di Presint 5 yang turut dilengkapi ibu pejabat FAM dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) serta sebuah stadium mini.

“Saya berharap apabila ibu pejabat baharu FAM yang turut dibina di Putrajaya ini siap, ia akan dapat membangunkan modal insan yang mahir dari segi pengurusan, teknikal, kepengadilan dan kejurulatihan.

“InsyaAllah dalam masa beberapa tahun lagi, kita dapat melihat mercu tanda baharu bola sepak Malaysia di pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya,” ujarnya.

Menurut Hamidin, Projek NTC itu merupakan manifestasi cetusan ilham bekas Presiden FAM, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang telah lama berhasrat untuk mewujudkan satu hab bola sepak di Putrajaya yang merangkumi pusat pentadbiran dan juga latihan.

“Ketika Almarhum Tuanku menggalas tugas sebagai Presiden FAM, baginda berhasrat untuk mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak di rantau Asia.

“Selain Almarhum Tuanku, seorang lagi individu atau watak penting dalam merealisasikan pembinaan Projek NTC ini ialah Tan Sri Datuk Seri Dr Aseh Che Mat, individu yang paling lama berkhidmat di FAM yang mana beliau ketika ini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM.

“Tan Sri Aseh yang bertanggungjawab mendapatkan tapak Projek NTC ini ketika beliau menjadi Presiden Perbadanan Putrajaya. Tanpa kedua-dua individu penting ini serta individu-individu lain yang turut sama membantu, pastinya agak sukar bagi FAM untuk menjadikan projek ini satu kenyataan,” ujarnya.

Dengan pembinaan NTC ini, beliau berkata ia secara tidak langsung menjadi simbolik kepada pembangunan infrastruktur FAM yang telah dirancang sejak beberapa tahun lalu.

“Terima kasih sekali lagi kepada FIFA terutama Presidennya, Gianni Infantino atas sokongan penuh dan dana yang diberikan serta kepada Kerajaan Malaysia atas segala bantuan dan peruntukan yang diberikan kepada FAM.

“Saya berharap apabila siap dan terbina sepenuhnya NTC ini nanti, ia akan memberi nilai tambah kepada seluruh anggota pasukan kebangsaan khususnya buat skuad senior Harimau Malaya dan skuad B-23 kebangsaan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino berkata beliau gembira kerana Program FIFA Forward memainkan peranan penting dalam bola sepak Malaysia kerana NTC akan menjadi mercu tanda untuk sukan itu di negara ini.

“Seiring dengan sokongan kerajaan Malaysia, tahniah sekali lagi dan saya berharap untuk berpeluang melihat hasil semua kerja keras anda apabila melawat Malaysia nanti,” ujarnya.

Menurut Laporan FIFA Foward Global yang dikeluarkan Disember tahun lalu, FIFA menetapkan sekitar RM12 billion (AS$2.54 bilion) pelaburan dalam 211 persatuan anggotanya serta dalam enam konfederasi dan pelbagai persatuan zon/serantau untuk meningkatkan pembangunan bola sepak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas