Berita

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang pertama di Malaysia diiktiraf Healthy Venues

- Diterbit 21 Mei 2024 3:47 PM MYT

PUSAT Konvensyen Kuala Lumpur dianugerahkan akreditasi Tahap Gangsa oleh organisasi Healthy Venues sekali gus menjadi tempat penganjuran acara pertama di negara ini yang menerima pengiktirafan itu.

Pengurus besarnya John Burke dalam kenyataan berkata pengiktirafan tersebut hanya diberikan kepada tempat-tempat yang menerapkan nilai kesejahteraan ke dalam acara dengan memberikan keutamaan kepada pemakanan sihat, pergerakan dan kesihatan di tempat kerja, menekankan usaha berterusan mereka untuk meningkatkan pengalaman delegasi secara keseluruhan serta kejayaan seminar.

“(Pengiktirafan ini) menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran, perniagaan atau aktiviti santai. Pencapaian baharu ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai tempat penganjuran acara bertaraf dunia dan peneraju industri yang berada pada taraf piawaian global.

“Penyelidikan telah menunjukkan bahawa persekitaran seminar yang sihat boleh meningkatkan produktiviti peserta dan memberikan pengalaman serta kenangan positif berkenaan acara yang mereka hadiri,” katanya sambil menambah bahawa akreditasi itu juga membantu menarik lebih banyak delegasi.

Burke berkata bagi memperoleh pengiktirafan itu, pusat tersebut perlu memenuhi kriteria ketat termasuk mematuhi garis panduan pemakanan kebangsaan dalam amalan katering, menawarkan sekurang-kurangnya 25 peratus pilihan menu sihat, menyediakan pilihan minuman rendah atau tanpa gula serta air minum percuma di lokasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas