KERAJAAN Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak sedang menyelaras perancangan Projek Pusat Kanser Sarawak- sebuah inisiatif besar yang bakal menjadi mercu tanda baharu perkhidmatan kesihatan di Bumi Kenyalang.
Pusat Kanser Sarawak merupakan komitmen besar yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berjumpa dalam satu mesyuarat yang memfokuskan perkara utama bagi kelancaran projek berkenaan.
Nanta Linggi, berkata pusat kesihatan berkenaan akan menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem kesihatan awam di wilayah itu, khususnya dalam menyediakan rawatan kanser yang lebih dekat, komprehensif dan berkualiti kepada rakyat Sarawak tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada fasiliti di Semenanjung.
“Mesyuarat ini memfokuskan kepada perkara-perkara utama bagi memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan projek ini, termasuk penetapan skop projek bagi memastikan fungsi, kapasiti dan kemudahan yang akan dibangunkan benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
“Selain itu kami turut berbincang mengenai status pemilikan tanah yang menjadi salah satu aspek penting perlu diselesaikan bagi memulakan pembangunan fizikal.
“Penetapan garis masa pelaksanaan projek turut dibincangkan supaya pembangunan dapat dirancang secara tersusun dan mengikut jadual,” kata Nanta Linggi dalam hantaran yang dibuat menerusi akaun facebooknya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian.
Kehadiran pimpinan kanan negara dan negeri itu kata Nanta Linggi, membuktikan kesungguhan tinggi semua pihak untuk merealisasikan pusat rawatan kanser yang bukan sahaja berperanan sebagai pusat rawatan, malah menjadi pusat penyelidikan dan latihan yang canggih di rantau ini.
“Kerjasama rapat kedua-dua pihak antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan menjadi pemacu utama kejayaan projek ini.
“Projek ini adalah bukti nyata bahawa kesihatan rakyat adalah keutamaan kita semua,” katanya. -WILAYAHKU