Berita

Pusat beli-belah jadi tumpuan sempena cuti perayaan akhir tahun

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 26 Disember 2023 8:30 PM MYT

KEMERIAHAN cuti umum sempena sambutan Krismas masih terserlah dengan kebanyakan pusat beli-belah di ibu negara dilihat begitu rancak menjalankan perniagaan sehari selepas perayaan itu.

Ramai mengambil peluang untuk bercuti dan meluangkan masa berlibur bersama keluarga di tempat-tempat yang menjadi kegemaran mereka di sekitar ibu kota.

Tinjauan Bernama di beberapa pusat beli-belah mendapati orang ramai termasuk pelancong menggunakan kesempatan itu untuk membeli-belah, menonton wayang dan mengambil foto pelbagai dekorasi sempena perayaan Krismas meskipun hari ini adalah hari bekerja.

Mohd Nasir Shahruddin, 33, menggunakan peluang itu untuk membawa anak lelakinya yang berumur tujuh tahun menonton filem ‘Aquaman dan ‘The Lost Kingdom’ di Dadi Cinema, Pavilion di sini pada tengah hari tadi kerana dia masih bercuti.

“Sekolah masih cuti dan saya juga sedang bercuti namun isteri saya yang bekerja sebagai akauntan terpaksa bertugas. Jadi, kami hanya keluar berdua hari ini. Saya sudah lama menunggu sekuel Aquaman dikeluarkan jadi sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk menonton filem ini,” katanya kepada Bernama.

Seorang pelancong dari Jepun, Miyuki Takashi, 42, pula berkata dia dapat merasakan semangat meraikan perayaan di kebanyakan tempat sejak tiba di Kuala Lumpur dua minggu lepas.

“Di Jepun, Krismas hanya disambut sebagai satu perayaan kebudayaan, jadi ia hanya berkisar kepada perihal kawan-kawan melepak bersama dan menikmati musim sejuk. Ia amat berbeza dengan suasana di Malaysia. Orang ramai dari pelbagai latar belakang sama-sama berkumpul untuk meraikannya.

“Saya kagum melihat rakyat Malaysia yang bersatu hati ketika meraikan setiap perayaan. Dekorasi pusat beli-belah di sini juga begitu menakjubkan,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah The Exchange TRX.

Sementara itu di Titiwangsa, seorang pengusaha kedai mi, Evan Tam, berkata perniagaannya meraih keuntungan berlipat kali ganda sejak minggu lepas susulan musim cuti sempena perayaan kali ini.

“Setakat Ahad lepas, saya berjaya menjana pendapatan hampir RM7,000 iaitu dua kali ganda berbanding hari-hari biasa. Khalayak yang bercuti di sini kali ini juga amat berbeza. Kami amat berbesar hati kerana telah menerima kunjungan ramai pelancong yang tahu mengenai perniagaan kami melalui ulasan dalam talian,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas