Berita

Pupuk pembelajaran sepanjang hayat

ANTARA pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di PREPKOM PA Seri Tioman 1.
- Diterbit 20 April 2025 11:00 AM MYT
SELARAS dengan objektif penubuhannya, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa memberi komitmen penuh dalam memperkasa generasi muda di Kuala Lumpur khususnya dalam pendidikan.

Justeru, YWP menjalinkan satu kerjasama bersama pihak Yayasan Hasanah dalam usaha memperkasa pendidikan dan komuniti khususnya untuk pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan berprestasi rendah.

Menurut Pengurus Kanan YWP, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir, kerjasama tersebut adalah untuk memberi akses kepada pendidikan tambahan berkualiti kepada pelajar yang tercicir atau berprestasi rendah, terutamanya dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris dan Matematik.

“Selain itu, ia bagi memupuk semangat pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan komuniti berpendapatan rendah (B40),” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas lanjut, Ida berkata menerusi kerjasama ini, dua program utama akan diadakan iaitu Kelas Tuisyen SPM serta Kelas Pemulihan 3M.

“Antara program yang direncanakan adalah Kelas Tuisyen SPM untuk pelajar Tingkatan 5 yang lemah dalam bahasa Inggeris dan Matematik serta Kelas Pemulihan 3M untuk pelajar Tahun 2 dan Tahun 3 yang belum menguasai kemahiran asas Membaca, Menulis dan Mengira dalam Subjek Bahasa Melayu & Matematik.

“Ia dilaksanakan di 10 lokasi Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) di bawah seliaan YWP yang terletak di kawasan PPR/PA Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam kerjasama ini, Yayasan Hasanah telah menyalurkan geran berjumlah RM498,000 bagi melaksanakan program tuisyen secara percuma dan YWP bertindak sebagai pelaksana program, dari aspek pengurusan, penyediaan fasilitator dan pemantauan aktiviti pembelajaran di lapangan,” katanya.

Jelasnya menerusi kerjasama ini, program-program yang diadakan menyasarkan pelajar SPM dari golongan B40 yang berprestasi rendah dan pelajar tahap rendah (Tahun 2 & 3) yang mempunyai kelemahan asas.

“Secara keseluruhannya seramai 150 orang pelajar Tingkatan 5 serta 150 orang pelajar Tahun 2 dan 3 mengikuti kelas tuisyen ini.

“Diharapkan program ini dapat menyuntik semangat dan keyakinan diri mereka dalam menghadapi peperiksaan dan cabaran masa depan.

“Kami juga berharap agensi kerajaan, dan syarikat swasta, akan turut sama menyokong dan bekerjasama dalam inisiatif sebegini,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas