DALAM usaha memelihara dan memperkasa warisan budaya Melayu, satu pementasan karya agung Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan berjudul Sirih Bertepuk Pinang Menari bakal dipentaskan pada penghujung November ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata pementasan ini bertujuan memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan.
“Ia memberi peluang kepada JKKN dan badan bukan kerajaan (NGO) seni budaya untuk mengetengahkan karya seni negara, mempergiatkan persembahan teater serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan generasi muda.
“Diharapkan program ini akan menjadi daya tarikan pelancong juga menjadi platform kepada pengkarya seni budaya untuk mementaskan karya-karya seni budaya berteraskan negeri-negeri seperti tari, muzik dan teater,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Amran berkata teater arahan Dr Marlenny Deenerwan ini akan berlangsung pada 29 dan 30 November serta 1 Disember 2024 pada pukul 8.30 malam di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
“Pementasan ini juga akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 November, 8.30 malam,” katanya.
Berkongsi lanjut, Mohd Amran berkata mementaskan karya Datuk Noordin Hassan itu merupakan impian Dr Marlenny Deenerwan (Lenny Erwan) yang menjadi kenyataan.
“Bukan setiap hari kita berpeluang untuk menonton sebuah karya yang penuh makna dalam penceritaan, malah bukan mudah untuk ditafsir, kisah yang penuh dengan pendekatan fitrahnya dan pemikiran yang unik daripada seorang tokoh yang sangat disanjungi.
“Sirih Bertepuk Pinang Menari sebuah teater yang boleh mengajar kita semua untuk berfikir dengan lebih kritis lagi dan tahu untuk menghargai sesebuah karya yang tidak mudah ditafsir dengan pemikiran biasa.
“Teater ini menghimpunkan seramai 22 pelakon dengan kombinasi pelakon lama dan baharu seperti Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi dan Shasha Fairus,” ujarnya.
Pementasan teater ini merupakan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dan Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Pas masuk berharga RM20 untuk orang awam manakala RM15 untuk pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) boleh didapati dengan mengimbas kod QR pada poster di dalam media sosial Instagram @rumpunsenimekarbudaya. Maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, boleh layari laman sesawang ataupun media sosial JKKN. – WILAYAHKU