Berita

Puji usaha UKM… Fahmi Fadzil saran penganjuran apresiasi filem dipergiatkan

- Diterbit 2 Jun 2024 9:06 AM MYT

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil memuji usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menganjurkan program berbentuk apresiasi filem bagi menyuntik semangat mahasiswa untuk menyokong filem tempatan.

Menurut Fahmi, memandangkan mahasiswa adalah penyambung legasi industri seni perfileman Malaysia, program seumpama itu perlu dipergiatkan.

“Setiap hasil seni yang dilahirkan merupakan penyumbang kepada industri kreatif tanah air dan ia merupakan hasil seni yang perlu kita hargai dan hayati intipatinya.

“Perjalanan menghasilkan filem bukan mudah. Apatah lagi filem yang berasaskan sejarah atau peristiwa masa silam .

“Oleh itu, harapan saya agar apresiasi ini akan dapat memberi sedikit ruang dan peluang untuk mahasiswa mendapat ilmu serta menambah pengetahuan dengan memahami sudut pandang artis serta idea dan pemikiran pembikin filem dalam filem yang disaksikan ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini .

Pagari Bulan adalah ebuah filem drama sejarah Malaysia 2023 arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dengan idea asal Ellyna Ahmad serta skrip oleh Siti Jasmina Ibrahim.

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil memuji usaha UKM yang menganjurkan program berbentuk apresiasi filem

Majlis anjuran Pelajar Seminar Komunikasi Antarabudaya, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM dengan kerjasama syarikat produksi Eleven Field Creative itu mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menurut Fahmi, menerusi majlis apresiasi filem, ia akan dapat memberi peluang kepada mahasiswa memahami aspek pembikinan filem dengan lebih mendalam melalui perkongsian daripada artis, pembikin filem serta panel jemputan.

“Saya nampak usaha seperti ini agak baik dan kementerian melalui Finas akan terus bagi sokongan. Kalau boleh kita mahu adakan lebih banyak majlis apresiasi filem ini dengan menjelajah kampus-kampus universiti agar lebih ramai mahasiswa dapat menyertainya.

“Ada universiti mempunyai fakulti dalam bidang perfileman. Jadi, majlis apresiasi filem sebegini memang sesuai diadakan. Ia juga dapat memupuk hubungan pihak akademia dengan penggiat seni filem,”katanya.

BARISAN ahli panel berkongsi ilmu di Majlis Apresiasi Pagari Bulan
DARI kiri: Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi FSSK, Dr Hasrul Hashim; Pengerusi Pusat Kajian Media dan Komunikasi FSSK, Dr Maizatul Haizan Mahbob; Dekan FSSK Prof Dr Kadaruddin Aiyub; Datuk Afdlin Shauki; Vanidah Imran; Mohammad Thaaqhib Mohammed; Pensyarah Pusat Kajian Media dan Komunikasi FSSK Prof Madya Dr Abdul Latiff Ahmad dan moderator program, Sudirman Mohd Tahir.
PENGARAH filem Pagari Bulan, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

 

MENDAPAT sambutan hebat… Majlis Apresiasi Pagari Bulan (Filem Kita, Wajah Kita: Garapan Sejarah Dari Lensa Kreatif) di UKM, Bangi.

Fahmi juga bersetuju dengan saranan agar Finas menganjurkan pertandingan filem pendek untuk mahasiswa.

“Pihak Finas belum mempunyai cadangan terhadap usul ini dan saya akan cuba cadangkan kepada mereka agar ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Pada majlis sama, Fahmi berkongsi pengalamannya menghadiri majlis apresiasi filem sewaktu zaman mudanya serta mengakui ia telah menimbulkan minat mendalam terhadap filem. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas