Berita

PTTI berkolaborasi dengan Kelab Nuri Bank Rakyat, anjur Seminar Road Tour Kuala Lumpur Skor A+ 2024

- Diterbit 9 Januari 2025 2:27 PM MYT

DALAM usaha melahirkan generasi muda yang cemerlang, PTTI Group Sdn. Bhd. dengan bangganya mengumumkan kejayaan penganjuran Seminar Road Tour Kuala Lumpur Skor A+ 2024.

Program pemantapan akademik berskala besar ini telah berjaya menarik lebih daripada 1000 peserta yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 3 dan 4 dari seluruh negara.

Diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, pada 23 Disember lalu, seminar selama sehari ini menyaksikan kolaborasi hebat antara PTTI dengan bank Islam terbesar di Malaysia iaitu Bank Rakyat dan Kelab Nuri.

Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh lagi komitmen kedua-dua belah pihak dalam usaha memartabatkan pendidikan negara, malah turut memberikan manfaat yang luas kepada para peserta.

Sebenarnya penganjuran seminar ini adalah satu platform sebagai persediaan awal untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Dengan penekanan kepada subjek-subjek utama seperti Bahasa Melayu, Matematik, Kimia, Matematik Tambahan dan Sains, peserta telah diberikan pendedahan kepada teknik-teknik menjawab soalan yang efektif serta pelbagai tip untuk meningkatkan prestasi akademik.

Bukan itu sahaja, selain fokus kepada aspek akademik, seminar ini turut menyelitkan sesi celik kewangan yang disarankan oleh Bank Negara Malaysia.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha PTTI untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi bijak mengurus kewangan.

Selebriti penguat semangat

Apa yang istimewa, seminar kali ini turut dimeriahkan lagi dengan penampilan khas daripada artis terkenal, MK Klique, yang juga merupakan duta PTTI, serta ikon SPM PTTI, Zaki Yamani.

Kehadiran mereka telah memberikan suntikan semangat kepada para peserta dan menjadikan program ini lebih bermakna.

Bukan itu sahaja, sebagai tanda sokongan kepada peserta, PTTI telah menaja sebanyak 200 orang pelajar untuk membuka akaun Kelab Nuri Bank Rakyat secara percuma.

DUTA PTTI, MK Klique hadir memberikan semangat kepada para pelajar

Dengan adanya akaun ini, pelajar bukan sahaja dapat menyimpan wang, malah turut menikmati pelbagai diskaun menarik daripada rakan kongsi Kelab Nuri Bank Rakyat seperti Slash Mania, Breakout, Samurai Yakiniku, Jump Street Asia, ADNAA Fashion, PTTI Online Tuition Class dan banyak lagi.

Mungkin terdapat ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka menyertai program ini pada masa akan datang, Seminar Road Tour Skor A+ ini merupakan program berskala yang dianjurkan oleh PTTI sepanjang tahun.

Penganjuran program ini menunjukkan komitmen PTTI dalam usaha menyediakan peluang pembelajaran yang berkualiti kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas