Berita

PTPTN seru orang ramai rebut peluang insentif pelepasan cukai sebelum 31 Dis

- Diterbit 26 Disember 2024 6:00 PM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyeru orang ramai untuk segera membuat simpanan dalam Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebelum Disember 2024 bagi melayakkan mendapat insentif pengecualian cukai pendapatan sehingga RM8,000 bagi tahun ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata insentif berkenaan merupakan keistimewaan kepada pendeposit Simpan SSPN yang memberikan kelebihan berbeza berbanding produk simpanan lain di pasaran selain turut menikmati pelbagai manfaat lain yang ditawarkan.

““PTPTN sentiasa komited melaksanakan pelbagai insentif bagi memastikan ibu bapa mempunyai perancangan kewangan untuk masa depan anak-anak mereka.

“Dengan memperkenalkan Simpan SSPN, kita telah membuka ruang serta peluang kepada ibu bapa untuk memulakan penabungan khususnya bagi tujuan pendidikan dan memupuk amalan menabung dari awal
usia anak-anak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan kerana telah melanjutkan insentif pelepasan taksiran cukai ini kepada pendeposit Simpan SSPN sehingga tahun taksiran 2027.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, PTPTN berkata Simpan SSPN yang diperkenalkan pada 2004 adalah untuk menggalakkan ibu bapa membuat perancangan kewangan awal bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

“Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” katanya.

Jelasnya, Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkan manfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa sehingga RM8,000 setahun.

“Ibu bapa sebagai pendeposit Simpan SSPN layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.

“Manakala, ibu bapa sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapat pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun untuk satu pasangan,” katanya.

Menurut PTPTN, pelbagai usaha dan strategi juga telah dilaksanakan pihaknya bagi membudayakan amalan penabungan.

“Sebagai tanda penghargaan dan menggalakkan penabungan kepada masyarakat Malaysia, PTPTN mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan dengan
jumlah keseluruhan bernilai lebih RM1.3 juta menanti 983 orang pemenang.

“Tempoh promosi bermula pada 1 Januari 2024 dan akan berakhir pada 31 Disember 2024,” kata kenyataan itu.

Menurut PTPTN, sehingga 30 November 2024, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM19.44 bilion dengan 6.69 juta akaun direkodkan.

“Ini menunjukkan Simpan SSPN menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.

Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN bagi urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Pendeposit juga boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai keistimewaan dan manfaat produk Simpan SSPN.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas