Berita

PTPTN: Kempen RM300 empat bulan lagi

- Diterbit 9 Ogos 2024 11:10 AM MYT

KEMPEN Strukturkan Pinjaman Anda Serendah RM300 yang dianjurkan oleh pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilanjutkan kepada empat bulan khas buat peminjam PTPTN.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata kempen tersebut merupakan inisiatif khas yang diwujudkan bagi menggalakkan dan memberi sokongan kepada peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman PTPTN untuk menyelesaikan tunggakan mereka dengan bayaran awal serendah RM300 sahaja.

“Melihat kepada sambutan yang menggalak-kan daripada kalangan peminjam, tempoh kempen telah dilanjutkan daripada dua bulan yang berakhir pada 31 Julai lalu sebelum ini kepada empat bulan iaitu bermula 1 Jun sehingga 30 September 2024,” katanya dalam satu kenyataan media.

Norliza berkata tujuan pelanjutan tempoh kempen ini adalah untuk memberi peluang kepada peminjam membuat rundingan bayaran balik dan membantu peminjam merancang semula ansuran bayaran balik demi mencapai zero tunggakan.

“Tempoh pelanjutan ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Kempen myPTPTN Mudah, Cepat & Selamat yang sedang berlangsung.

“Melalui perlanjutan tempoh kempen ini, peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh mengambil peluang untuk membayar tunggakan serendah RM300 dan membuat penstukturan semula pinjaman sekali gus dapat memperbaiki rekod kredit peminjam,” ujarnya.

Tambahnya kempen ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan dalam tempoh kempen, sama ada pinjaman konvensional atau ujrah.

“Selain penstrukturan, peminjam juga boleh membuat rundingan bayaran balik yang lain,” jelasnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas