PERSATUAN Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam proses membuka akaun bank khas seperti diminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memudahkan urusan menerima dana kerajaan.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pihaknya menyambut baik usaha KBS yang membolehkan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) mengurus sendiri dana diberikan kerajaan.
“Sebelum ini ia diurus Majlis Sukan Negara (MSN) dan ini satu cadangan yang baik, kita memang setuju 100 peratus. Cumanya persatuan perlu tahu berapa bajet sebenar diperlukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi PSM.
Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata terdapat beberapa PSK yang enggan membuka akaun bank khas seperti diminta sebagai syarat utama menerima kemasukan dana daripada kerajaan.
Menurut Hannah, permintaan KBS untuk PSK membuka akaun bank khas adalah untuk memudahkan urusan mereka menerima dana daripada kerajaan.
Beliau berkata pembukaan akaun bank khas berkenaan adalah tanggungjawab asas yang perlu dituruti PSK, bagi memastikan segala dana yang disalurkan kepada mereka dapat diaudit dan digunakan bagi membantu atlet.
Hannah berkata beliau tidak mahu mendengar rungutan daripada PSK yang mempersoalkan mengapa bayaran yang dituntut lambat dibayar dan disebabkan itu pihaknya membuat pembaharuan menyalurkan dana secara terus dengan syarat mereka perlu membuka akaun bank khas terlebih dahulu untuk menerimanya.
Mohd Sumali berkata beliau akan berbincang dalam mesyuarat jawatankuasa kerja MSN tidak lama lagi bagi memperincikan jumlah dana diperlukan PSM, yang bergantung kepada berapa banyak kejohanan atau program pembangunan diperlukan.
Dalam pada itu, beliau berkata rombakan besar-besaran skuad wanita kebangsaan akan dilakukan termasuk mengadakan proses pemilihan bagi memastikan hanya pemain yang benar-benar layak terpilih menggalas cabaran ke peringkat antarabangsa.
“Terdapat pemain yang menonjol di peringkat daerah namun tidak berpeluang mewakili skuad kebangsaan susulan komitmen keluarga atau sukar mendapat pelepasan majikan dan perkara itu akan diperhalusi pihaknya,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Sumali berkata PSM akan menganjurkan Piala Tun Ali di Melaka dari 2 hingga 8 Disember ini, melibatkan penyertaan 20 pasukan negeri dan kelab dengan wang hadiah kemenangan kejohanan itu ditambah kepada RM15,000 untuk acara regu dan RM10,000 bagi beregu. – WILAYAHKU