Fitnah vs Fakta

PSB tak hapus bangsa Melayu

AKTA PSB bukan bertujuan menghapuskan bangsa Melayu serta golongan B40 dan M40 di bandar.
- Diterbit 14 Mac 2025 11:22 AM MYT

KECOH baru-baru ini apabila pindaan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dikatakan kononnya taktik halus menyingkirkan Melayu daripada menetap di kawasan bandar dengan menurunkan nilai ambang persetujuan bagi pembangunan semula kawasan perumahan strata.

Bukan itu sahaja terdapat segelintir netizen mendakwa rakyat sukar untuk mempercayai jaminan kerajaan bahawa pindaan undang-undang berkenaan tidak akan menjejaskan orang Melayu di bandar. Mereka menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim suka bercakap bohong dan tidak menunaikan janji-janji.

Bukan itu sahaja, kata mereka kalau RUU PSB dilaksanakan, hanya orang kaya sahaja tinggal di bandar, orang Melayu nak pergi mana?

Menurut Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Dr Alias melalui akta ini, bukan sahaja hak penduduk dan pemilik asal bangunan usang yang hendak dibangunkan ini akan mendapat keutamaan untuk tinggal semula di sini bahkan jauh sekali menghalau orang Melayu dari bandar.

Beliau menafikan dakwaan bahawa PSB akan menghapuskan bangsa Melayu serta golongan B40 dan M40 di bandar.

Beliau berkata kerajaan memegang teguh 10 prinsip bagi memastikan ketelusan pentadbiran dan menjamin hak pemilik hartanah berdaftar dalam membangunkan rang undang-undang itu.

“Antara prinsip utama RUU PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal dan menjaga kepentingan pemilik tanah dan penyelarasan kos caj penyelenggaraan yang wajar.

“Penggubalan RUU PSB tidak sama sekali menyebabkan pindaan kepada akta-akta lain seperti yang disebut oleh Ahli Parlimen Kota Bharu iaitu Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara dan Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya.

Mengulas lanjut Alias berkata RUU PSB akan melengkapi dan mempunyai peruntukan tambahan bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik dan pemunya hartanah sedia ada.

Beliau berkata kajian kepada lebih 17 akta berkaitan pembangunan hartanah telah dilaksanakan bagi mengelakkan pertindihan dan percanggahan dari sudut perundangan.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dan memberi jaminan bahawa pemilik asal hartanah tidak akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan susulan Akta PSB.

Malah katanya kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan yang akan diberikan.

Menurut beliau Akta PSB telah diusulkan sejak 2013 sebelum proses pengumpulan data dimulakan pada 2015, maka tidak timbul soal gopoh untuk melaksanakan akta berkenaan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas