Berita

PRU15: Latar belakang kerjaya bantu calon muka baharu

- Diterbit 7 November 2022 2:59 PM MYT

LATAR belakang kerjaya dan pengalaman dalam bidang kemasyarakatan akan dimanfaatkan sebaiknya calon muka baharu di tiga kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Calon Gerakan Tanah Air (GTA) di kerusi Parlimen Batu, Wan Azliana Wan Adnan yang bertanding atas tiket Pejuang mahu menggunakan pengalamannya dalam bidang undang-undang untuk memberi bantuan perundangan kepada masyarakat memerlukan.

Memasuki hari ketiga berkempen, peguam litigasi itu berkata beliau menerima pelbagai aduan daripada penduduk termasuk isu bayaran guaman yang tinggi bagi urusan penukaran hak milik kediaman rumah pangsapuri.

“Kalau boleh, saya mahu melihat akses kepada bantuan guaman percuma diberikan kepada rakyat di negara ini seperti mana kita mendapat akses kepada perubatan percuma,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di kawasan Pangsapuri Taman Sri Murni di sini hari ini.

Wan Azliana berdepan saingan 10 penjuru di Parlimen Batu antaranya penyandang kerusi itu  P Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH) dan bekas penyandang Tian Chua (Bebas).

Dalam pada itu, calon PH Parlimen Putrajaya Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang merupakan satu-satunya tokoh profesional Orang Kurang Upaya (OKU) bertanding pada PRU15 bersedia mengerah seluruh tenaga untuk membantu rakyat di kawasan pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu.

Ahli akademik yang menghidap penyakit spina bifida sejak lahir itu bakal mengemukakan lima perkara utama dalam manifesto beliau antaranya melibatkan kebajikan penjawat awam.

Noraishah Mydin menghadapi lima lagi calon termasuk penyandangnya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Barisan Nasional (BN),  Datuk Dr Radzi Jidin daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd  Rosli Ramli (GTA-Berjasa) dan dua calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi dan Lim Fice Bee   bagi kerusi Parlimen itu.

Calon Parlimen Setiawangsa dari BN, Datuk Seri Dr Izudin Ishak yang sering berdampingan dengan penduduk sebagai Ketua UMNO Bahagian itu, akan mengetengahkan isu dihadapi mereka ke peringkat lebih tinggi sekiranya memenangi kerusi berkenaan pada hari pengundian 19 Nov ini.

Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan bertekad menyelesaikan pelbagai isu antaranya masalah jalan raya, kemudahan dan pusat rekreasi selain menyediakan ekonomi yang stabil kepada penduduk setempat.

Izudin berdepan saingan enam penjuru melibatkan antaranya penyandang kerusi Parlimen itu, Nik Nazmi Nik Ahmad (PH) dan peguam Nurul Fadzilah Kamaluddin (PN). – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas