SEMPENA Hari Kitar Semula Kebangsaan, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil inisiatif menganjurkan Hari Kitar Semula Peringkat Putrajaya dengan kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan.
Bertemakan Generasi Putrajaya Juara Kitar Semula, Hari Kitar Semula Putrajaya (HKSP) 2024 bertujuan memupuk kesedaran, menggalakkan budaya amalan kitar semula dan memperkukuh komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
Bulan kitar semula telah dilancarkan pada 13 November lalu dan beberapa aktiviti dijalankan antaranya Anugerah Kitar Semula 2024, KITARun Putrajaya 2024, Pertandingan Seni Kreatif 3R, Pertandingan Rekaan Fesyen 3R, Pertandingan Mewarna Kitar Semula, Bengkel Fabrik Terpakai Berasaskan Denim serta 3R Treasure Hunt.
Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, penganjuran kali ini memberi fokus kepada pendekatan inovatif dan interaktif untuk mempromosikan budaya kitar semula termasuk pameran teknologi hijau, aktiviti pendidikan, bengkel kreatif dan aktiviti penjualan barangan kitar semula.
“Acara ini berperanan sebagai platform menggalakkan kerjasama strategik antara pihak berkepentingan dalam usaha menjadikan Putrajaya bandar hijau yang mampan.
“Sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan lestari PPj, HKSP 2024 bertujuan menyokong pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau dan Dasar Pengurusan
Sisa Negara dengan menyasarkan peningkatan kadar kitar semula serta mengurangkan sisa ke tapak pelupusan,” katanya.
Sebagai rekod, cogan kata Generasi Putrajaya Juara Kitar Semula dipilih menggambarkan komitmen dan aspirasi Putrajaya dalam melahirkan masyarakat yang berdaya saing serta bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. – WILAYAHKU