Berita

Projek River of Life: Wujudkan badan pengawasan bersama

- Diterbit 12 Julai 2024 9:30 AM MYT

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu mewujudkan  badan pengawasan bebas untuk memantau kemajuan projek dan pengurusan kewangan bagi memastikan projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) disiapkan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata cadangan itu dikemukakan memastikan pengawasan dan amalan tata kelola yang lebih baik dalam pembangunan projek infrastruktur awam masa hadapan bagi memastikan ia tidak berdepan dengan kerugian.

“JWP dan DBKL sebagai badan pelaksana perlu menjalankan audit berkala dan semakan projek untuk mengenal pasti dan menangani isu berbangkit yang berkait dengan risiko kelewatan dengan segera.

“Selain itu, kedua-dua agensi ini perlu membangunkan garis panduan dan piawaian yang jelas untuk pengurusan projek dan prestasi kontraktor yang dilantik bagi mengelakkan berlaku isu seumpama itu pada masa akan datang,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Menurut Saravanan, kedua-dua agensi itu disarankan untuk melibatkan pihak berkepentingan sepanjang kitaran hayat projek tersebut bagi memastikan kebimbangan dan input mereka ditangani.

“JWP dan DBKL juga perlu menetapkan serta memantau petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan kemajuan projek serta pematuhan terhadap akauntabiliti,” katanya.

Mengulas mengenai teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) terhadap projek berkenaan, Saravanan berkata terdapat percanggahan yang ketara antara belanjawan awal dan perbelanjaan sebenar sekali gus menunjukkan perancangan dan pengawasan kewangan yang lemah.

“Projek ini menghadapi banyak kelewatan yang membawa kepada peningkatan kos serta garis masa yang dicadangkan terhadap tarikh siap projek yang terpaksa dilanjutkan. Kelewatan ini disebabkan oleh pengurusan dan perancangan projek yang tidak mencukupi.

“Selain itu, prestasi kontraktor dan pematuhan kepada jadual projek telah diambil perhatian yang menunjukkan kurangnya proses tapisan dan pemantauan kontraktor yang ketat,” katanya.

Tambah beliau, laporan itu turut menunjukkan bahawa projek tersebut tidak mempunyai objektif yang jelas menjadikannya sukar untuk menilai kemajuan dan kejayaan dengan berkesan.

“Penglibatan pihak berkepentingan utama yang tidak mencukupi, termasuk komuniti tempatan dan kumpulan alam sekitar mengakibatkan kekurangan sokongan dan menimbulkan komplikasi tambahan semasa projek dilaksanakan,” katanya.

Menurut Saravanan berikutan kelewatan projek itu disiapkan, pihaknya mendapati terdapat kesan ke atas dana awam dan implikasi kewangan jangka panjang

“Salah urus dan kelewatan dalam projek River of Life telah memberi kesan yang besar kepada dana awam dan telah menyebabkan lebihan kos yang ketara dan terpaksa meletakkan beban kepada kewangan awam bagi menyelesaikan projek berkenaan.

“Pembaziran sumber telah mengakibatkan kerugian kewangan tambahan selain keperluan untuk pembiayaan tambahan untuk menyiapkan projek boleh membebankan belanjawan masa depan yang berpotensi membawa kepada pemotongan perkhidmatan penting lain.

“Implikasi kewangan daripada salah urus boleh mengakibatkan peningkatan cukai atau pengagihan semula dana daripada projek awam lain yang menjejaskan pembayar cukai secara langsung,” katanya.

Ujarnya projek berkemungkinan telah menghakis kepercayaan orang ramai terhadap inisiatif kerajaan berikutan sejumlah peruntukan besar digunakan untuk membangunkan projek tersebut.

“Untuk memulihkan kepercayaan ini, kerajaan harus menyediakan komunikasi yang jelas dan telus tentang kemajuan projek, cabaran yang dihadapi dan pengurusan kewangan.

“Kerajaan juga harus mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab atas salah urus dan menjurus ke arah peningkatan kos yang merugikan dana awam dengan memastikan mereka dipertanggungjawabkan di atas perkara berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata sebagai badan bukan kerjaan (NGO) yang membawa suara pengguna, pihaknya serta kumpulan advokasi lain boleh memainkan peranan penting dalam memantau dan menangani isu dalam projek berkenaan.

“Kumpulan advokasi ini bertindak mewakili kepentingan pembayar cukai dan komuniti yang terjejas dalam perbincangan projek dan proses membuat keputusan.

“Ia juga dapat meningkatkan kesedaran awam tentang isu projek dan implikasinya terhadap dana awam selain  melobi untuk pengawasan yang lebih baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam projek awam serta boleh memantau secara aktif kemajuan projek dan pengurusan kewangan serta melaporkan penemuan kepada orang ramai dan pihak berkuasa,” katanya.

Kata beliau, semua pihak harus bekerjasama dengan agensi kerajaan, badan pengawasan dan pihak berkepentingan lain untuk memastikan projek disiapkan dengan cekap dan berkesan.

“Dengan melaksanakan langkah-langkah ini dan melibatkan kumpulan advokasi pengguna, kerajaan boleh menambah baik pengurusan projek infrastruktur awam dan memulihkan kepercayaan awam,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas