KERAJAAN akan tetap meneruskan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) yang kini hanya berbaki 19 peratus untuk disiapkan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, adalah menjadi satu kerugian sekiranya projek terbabit terhenti begitu sahaja.
“Sebenarnya saya sudah jawab perkara ini semasa di Parlimen, kita akan meneruskan kerana hanya tinggal 19 peratus sahaja. Setakat ini 81 peratus projek itu telahpun berjalan dengan baik.
“Bagi saya ia satu kerugian kalau kita tidak meneruskan sebab kita tahu kalau Projek RoL ini siap, ia akan memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA Ke-21 Sarawak hari ini.
Dalam pada itu, Zaliha berkata projek terbabit akan diteruskan dengan menggunakan peruntukan sedia ada.
“Yang mengatakan wang diperuntukkan sudah habis, ia adalah tidak benar. Masih ada lagi sebahagiannya dan kita akan menggunakan wang sedia ada untuk meneruskan projek-projek yang telah dirancangkan,” ujar beliau.
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan projek pemuliharaan sungai dalam kawasan bandar yang paling kompleks dengan kos tertinggi pernah dilaksanakan di Malaysia iaitu RM4.363 bilion itu dijangka tidak berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan tahun ini walaupun RM3.915 bilion telah dibelanjakan.
Menurut laporan itu, hingga Julai tahun lalu, lapan projek di bawah RoL masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 hingga 97.3 peratus manakala kontraktor penyiap bagi dua projek yang ditamatkan kontrak sebelum ini belum dilantik sementara 12 projek lagi masih belum dimulakan.
Analisis audit turut mendapati hanya 79.4 peratus kerja pengindahan sungai disiapkan dan hanya 50 (16.9 peratus) daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf. – WILAYAHKU