Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
SEBANYAK 120 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) disasar mengikuti Program TABIKA Pra Tahfiz KEMAS sepanjang tahun 2024.
Menurut Penolong Pengarah Kanan KEMAS Wilayah Persekutuan, Suzana Idayu Abdul Shukor, di Wilayah Persekutuan (WP) jumlah keseluruhan TABIKA yang disasarkan pada tahun 2023 selaku projek rintis adalah sebanyak tiga TABIKA.
“Setiap TABIKA melibatkan 15 orang kanak-kanak dan jumlah kanak-kanak yang terlibat bagi program ini pada tahun lalu adalah seramai 45 orang. Tahun ini program diteruskan dengan sasaran sebanyak 120 TABIKA lagi dan silibusnya adalah menghafaz sebanyak 30 surah buat kanak-kanak berumur lima dan enam tahun,” katanya kepada Wilayahku.
Mengulas lanjut, beliau berkata kanak-kanak berumur lima tahun mempunyai sasaran surah yang berbeza dengan mereka yang berusia enam tahun.
“Bukan semua pelajar akan terlibat dengan program ini. Cikgu akan memilih 15 orang pelajar yang dirasakan berpotensi untuk membaca dan menghafaz surah-surah yang dipilih. Ia juga akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat para guru.
“Para guru juga telah diberi pendedahan melalui kursus-kursus yang diadakan secara berperingkat sepanjang pelaksanaan program dan hanya mereka yang celik Al-Quran dipilih di mana setiap TABIKA sekurang-kurangnya akan ada seorang guru bagi program ini.
“Untuk mengetahui keberkesanan program, sebagai contoh mereka yang berusia lima tahun mempunyai sasaran surah tertentu dan ia berbeza dengan kanak-kanak enam tahun, namun kini kita berhadapan dengan cabaran di mana kebanyakan ibu bapa akan memilih untuk menghantar anak mereka ke pra sekolah jadi di situ penilaian kita akan terganggu.
“Kita tidak tahu sejauh mana pelajar itu menghafaz dan sejauh mana objektif program tercapai. Jadi nasihat saya kepada ibu bapa yang anaknya terlibat dalam Program Pra Tahfiz ini adalah untuk kekal sampai tamat sekolah supaya para guru dapat menilai sejauh mana keberkesanan program ini,” ujarnya.
Melalui Belanjawan 2024 lalu, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi pelaksanaan Program Pra Tahfiz KEMAS. – WILAYAHKU