SETIAUSAHA Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata penyerahan kunci bagi Projek Residensi Wilayah Seruni Rejang Setapak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini adalah satu detik yang amat bernilai.
Beliau berkata ia khususnya buat penerima kunci yang akan memulakan lembaran baru dalam kehidupan mereka
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan pembangunan Residensi Wilayah Seruni.
“Terutamanya pihak Amber Homes Sdn. Bhd. JV Rimbun Gabungan Sdn. Bhd, selaku pemaju bagi projek ini,” katanya selepas majlis penyerahan kunci itu
Menurut Azman, pemaju bagi Projek Residensi Seruni Rejang Setapak telah mendapat Sijil Pematuhan dan Penyiapan (Certificate of Completion & Compliance) pada awal bulan Januari 2025.
Katanya, projek ini melibatkan pembinaan 700 unit residensi berkeluasan 924 kaki persegi yang merupakan kediaman mampu milik berharga RM295,000 dengan kemudahan bertaraf kondominium.
“Satu blok pangsapuri yang memiliki 41 tingkat ini mengandungi 35 tingkat yang menempatkan 700 unit kediaman dan 6 tingkat podium tempat letak kereta.
“Sebagaimana hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dapat direalisasikan dengan penyiapan projek ini,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Majlis ini khususnya pihak Amber Homes Sdn Bhd JV Rimbun Gabungan Sdn Bhd.
Katanya, usaha dan komitmen semua pihak sangat dihargai.
“Teruskanlah usaha murni dan mari kira sama-sama berdoa agar segala usaha kita diberkati dan membuahkan hasil yang positif untuk masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Azman berkata program perumahan mampu milik di Wilayah Persekutuan telah mula diperkenalkan sejak tahun 2013 dengan Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan atau RUMAWIP.
Katanya, Pada tahun 2019, dasar RUMAWIP telah ditambah baik dan dijenamakan semula menjadi Residensi Wilayah bermula pada tahun 2019 yang memfokuskan kepada golongan berpendapatan sederhana rendah atau M40.
“Menerusi Residensi Wilayah, sebanyak 62,968 unit merangkumi yang telah siap, sedang dalam pembinaan dan yang telah menerima Perintah Pembangunan (Development Order – DO) melibatkan 93 projek secara keseluruhan telah berjaya dicapai bagi Kawasan Wilayah Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU