Berita

Projek Quick Win PA/PPR: Penduduk kekal sejahtera

ZALIHA (tengah) merasmikan Projek Quick Win PA dan PPR
- Diterbit 2 Ogos 2024 10:30 AM MYT

PROJEK Quick Win Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) 2024 melibatkan 64 kawasan seluruh ibu kota disempurnakan dengan jayanya baru-baru ini.

Program tersebut diilhamkan melalui pelaksanaan Blueprint Perumahan 2023-2028, berteraskan Kemampanan Fizikal dan Infrastruktur dengan fokus memperkasakan Program Penyelenggaraan dan Naik taraf PA dan PPR.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata program tersebut diselaras oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kolaborasi bersama komuniti setempat serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

“Fokusnya adalah bagi memperkasa Program penyelenggaraan dan naik taraf PA dan PPR, selain mewujudkan persekitaran kediaman yang ikonik.

“Kita menggalakkan setiap PPR itu supaya penduduk sendiri memainkan peranan juga sebab kita boleh buat sekali program tetapi untuk kekalkan kesejahteraan ataupun keindahan dan sebagainya itu ia memerlukan komitmen daripada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Progaran Kesejahteraan PA/PPR Quick Win di PA Seri Kota, baru-baru ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Tambah Zaliha, elemen utama program adalah kebersihan, keindahan, kehijauan dan keselamatan.

“Ia melibatkan aktiviti gotong-royong, keceriaan, cantasan dan penanaman pokok baharu serta penundaan kenderaan buruk,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zaliha berkata sebanyak 1,634 buah kenderaan tersadai telah dikenal pasti berada di seluruh Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Zaliha menjelaskan, pihak DBKL akan melakukan kerja peralihan kenderaan-kenderaan tersadai itu menerusi beberapa proses terlebih dahulu.

“Antara proses berkenaan adalah memastikan kereta terbabit bebas daripada digunakan untuk aktiviti jenayah.

“Kita tidak boleh terus angkat semua, akan lalui beberapa proses sebelum semua kenderaan ini dapat dilupuskan,” katanya. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas