PELAKSANAAN Projek Quick Win PA/PPR di 64 kawasan yang memberi manfaat segera kepada penduduk Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) menunjukkan komitmen Kerajaan Perpaduan sentiasa memahami denyut nadi rakyat.
Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Batu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Attamimi Farouk@Maarof berkata pelaksanaan projek anjuran pihaknya itu menjadi cara penyelesaian jangka pendek sementara impak secara menyeluruh menerusi projek-projek pembangunan yang giat dilakukan.
“Lebih 100 orang penduduk bersama-sama berganding bahu dalam menjalankan aktiviti kebersihan dan pengindahan di kawasan PPR iaitu pemantauan kerja pembersihan kawasan oleh kontraktor, kerja-kerja mengecat bangunan, parkir, mural dan lain-lain. Selain itu kita juga membuat hiasan oleh komuniti di lobi lif dan pertandingan keceriaan serta kebersihan blok,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Mohd Attamimi berkata pihaknya turut mengeluarkan notis arahan mengalihkan kenderaan buruk dan tersadai yang mana pemilik kenderaan telah diberi tempoh selama tujuh hari dari tarikh notis untuk mengalihkan kenderaan sebelum penundaan dilaksanakan.
“Sekiranya mereka gagal mematuhi arahan ini, tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan memindahkan kenderaan tersadai ini ke Depoh Simpanan Kenderaan Buruk/Tersadai DBKL. Kami tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerosakan kenderaan akibat daripada tindakan penguatkuasaan yang akan dijalankan nanti,” tegasnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Pekan Batu, Sohori Miswan berkata isu dan permasalahan di kawasan PA/PPR perlu campur tangan dan penglibatan daripada semua pihak khususnya tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) DBKL untuk mencapai penyelesaian secara menyeluruh.
“Kami akan selesaikan sendiri sekiranya isu tersebut boleh diselesaikan di peringkat jawatankuasa persatuan penduduk tetapi untuk perkara yang memerlukan penglibatan dan tindakan daripada pihak DBKL, kita akan maklumkan kepada mereka,” ujarnya. – WILAYAHKU