PERSATUAN Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) sangat bersetuju dengan idea pembinaan Projek Perumahan Rakyat Madani bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) di negara ini.
Presidennya, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata pihak kerajaan perlu memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan untuk membantu rakyat sederhana dan tidak berkemampuan membeli rumah di Kuala Lumpur.
“Projek Perumahan Rakyat Madani bagus untuk membantu rakyat sederhana kerana ramai rakyat tak mampu membeli rumah di bandar raya besar seperti di Kuala Lumpur.
“Jika betul-betul ingin melaksanakan, sangat bagus dan dalam masa yang sama dapat memastikan golongan ini tidak ketinggalan memiliki rumah sendiri di kawasan ini yang sememangnya kita tahu harga rumahnya juga mahal,” katanya.
Pada 29 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar sikap beberapa pihak yang membantah pembinaan Projek Perumahan Rakyat bagi golongan B40 dan M40 di negara ini.
Anwar menegaskan kerajaan tidak pernah menghalang pembangunan di mana-mana kawasan mewah, namun kepentingan majoriti rakyat tidak boleh diabaikan.
Katanya, majoriti rakyat di Kuala Lumpur adalah kumpulan M40 dan B40.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengarahkan supaya pembangunan projek perumahan mampu milik di ibu kota disegerakan bagi memenuhi permintaan tinggi khususnya terhadap golongan B40 dan M40.
Beliau berkata pembangunan itu juga perlu memenuhi kriteria rakyat seperti kemudahan fasiliti termasuklah aspek keselesaan.
Mohd Rosdi berharap agar ia dapat dilaksanakan oleh kerajaan hari ini demi kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
“Idea untuk rakyat yang berpendapatan sederhana ini perlu dipastikan menjadi kenyataan. Kalau tidak dipastikan betul-betul, sukar untuk dilaksanakan,” katanya. – WILAYAHKU