Berita

Projek pembinaan pusat penyembelihan ayam, Pasar Borong Selayang sedang tunggu DO kali ke-4

Gambar hiasan
- Diterbit 12 Disember 2024 4:27 PM MYT

PROJEK pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam di Pasar Borong Selayang tidak dibina menerusi sebarang kewangan daripada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata syarikat yang membangunkan Pusat Penyembelihan Ayam Halal berkenaan adalah merupakan sebuah syarikat yang hanya memajak tanah milik Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“Kos pembinaan bangunan tersebut adalah 100 peratus daripada sumber kewangan syarikat dan tidak melibatkan sebarang peruntukkan daripada pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pering kementerian di Dewan Negara semalam.

Zaliha berkata projek tersebut sedang menunggu kelulusan bagi pindaan Perintah Pembangunan Kali Keempat disebabkan ada perubahan rekabentuk bangunan selain terdapat isu-isu di tapak seperti pengalihan Kabel Elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di dalam tanah tersebut.

“Salah satu punca kelewatan pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam Halal ini adalah disebabkan adanya bantahan daripada pelbagai pihak yang membawa kes ini ke mahkamah.

“Kes ini akhirnya selesai di peringkat Mahkamah Persekutuan pada 6 April 2023,” katanya.

Sebelum ini, Senator Isaiah A/L D Jacob dalam sesi perbahasan bertanyakan status bantahan ke atas pembinaan Pusat Penyembelihan Ayam di Pasar Borong Selayang, sumber peruntukan kewangan, dan punca premis tersebut kini menjadi projek gajah putih. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas