Berita

Projek pembangunan berhampiran lokasi kebakaran ada kelulusan PBT

- Diterbit 2 April 2025 12:45 PM MYT

PROJEK pembangunan berhampiran lokasi kebakaran saluran paip gas bawah tanah di Putra Heights semalam disahkan mempunyai kelulusan penuh daripada Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Datuk Bandar, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, berkata projek tersebut bukan dalam Rizab Laluan (ROW) PETRONAS dan telah diberikan Kebenaran Merancang (KM) sejak 2022.

“Projek ini telah melalui semua proses kelulusan yang sewajarnya, termasuk mendapatkan kebenaran daripada PETRONAS untuk menggunakan ROW bagi laluan Indah Water Konsortium (IWK).

“Selain itu, kontraktor yang terlibat juga merupakan panel yang diluluskan oleh IWK dan PETRONAS,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hari ini.

Amirul Azizan menegaskan bahawa pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci.

“Segala maklumat yang tersebar di media sosial buat masa ini bukan kenyataan rasmi.

“Kita perlu menunggu hasil siasatan PETRONAS, polis, dan pihak berkuasa lain untuk mengetahui punca sebenar insiden ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa projek tersebut sepatutnya siap pada Disember lalu tetapi mengalami kelewatan kerana masih dalam proses mendapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Saya tidak pasti punca sebenar kelewatan ini kerana ia di luar bidang kuasa saya. Mungkin berkaitan faktor kewangan atau perkara lain, tetapi yang pasti semua kelulusan telah diperoleh mengikut prosedur yang ditetapkan,” tambahnya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas