Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Projek ‘pahala’ barangan kitar semula

AGENSI terlibat melakukan aktiviti pembersihan awam bersama-sama komuniti Putrajaya
- Diterbit 17 Mei 2024 3:30 PM MYT

KEMPEN Kebersihan Putrajaya iaitu singkatan daripada ‘Bersih Setiap Tempat’ kini kembali dengan siri penganjuran yang dikenali sebagai Program BeST@Surau.

Kempen BeST Putrajaya merupakan inisiatif Perbadanan Putrajaya (PPj) yang memfokuskan kepada aktiviti pencucian siar kaki, plogging, gotong-royong serta lain-lain perkhidmatan yang disediakan untuk penduduk Putrajaya.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, program tersebut dilaksanakan dengan memfokuskan objektif untuk memberi manfaat dalam membantu membersihkan kawasan sekitar surau dan mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat.

“Aspek kebersihan merupakan antara elemen utama yang sangat penting untuk menjamin kesihatan komuniti termasuk warga-warga kariah surau seiring dengan imej Putrajaya Bandar Bersih.

“Program BeST kali ini membawa elemen dan pengisian yang baharu iaitu projek pahala yang diperkenalkan dengan aktiviti jualan barangan kitar semula dari orang ramai,” ujar beliau.

Fadlun berkata hasil jualan tersebut akan diinfakkan sepenuhnya kepada surau yang terlibat.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menyumbang hasil jualan kitar semula mereka kepada surau-surau yang terlibat bagi memberi manfaat pada masa akan datang.

“Sebanyak empat siri program telah dirancang untuk diadakan di surau-surau sekitar Putrajaya pada tahun ini dan telah dimulakan dengan Surau Al-Muhajirin, Presint 9, Putrajaya Sabtu lepas.

“Seiring dengan tema Bersih Setiap Tempat, aktiviti pembersihan akan dijalankan di keseluruhan kawasan surau termasuk di dalam dan luar kawasan surau, keceriaan tandas, ruang-ruang aktiviti murid, kawasan-kawasan awam dan juga aktiviti pelupusan sisa pukal,” ujar beliau.

Selain itu, Fadlun berkata dalam merealisasikan persekitaran Putrajaya yang bersih, indah dan kondusif, program ini bakal menjadi medium pelaksanaan kempen bagi menggalakkan penyertaan orang awam dalam menghadiri setiap Program BeST yang akan dianjurkan oleh PPj.

“Diharapkan pelaksanaan program seperti ini dapat membuahkan hasil dan manfaat yang diterjemahkan melalui kesedaran dalam diri betapa pentingnya menjaga aspek kebersihan setanding dengan negara-negara maju selain menyahut seruan Kempen Putrajaya Bersih Setiap Tempat,” ujar beliau.

Terdahulu, kempen tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pemegang taruh seperti SWCorp, Alam Flora Sdn Bhd dan agensi yang terlibat secara langsung dengan pembersihan awam bersama-sama dengan komuniti Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas