PROJEK Kawalan Banjir bernilai kurang daripada RM8 juta yang sedang dibina bagi menangani isu banjir di sekitar Kampung Gersik di sini dijangka bakal siap sepenuhnya pada Ogos tahun hadapan.
Menurut Penolong Jurutera Awam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan, Hamid Anuar Amirullah, pelaksanaan projek itu dibuat berdasarkan kajian yang telah dijalankan dan didapati kawasan tersebut telah dikenal pasti antara satu kawasan yang berisiko dilanda banjir.
Katanya, projek pembinaan yang menggunakan konsep strew pump yang pertama itu telah dijadualkan bermula Ogos tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya dan akan beroperasi pada Ogos tahun hadapan.
“Komponen utama bagi projek ini adalah pembinaan pintu air bersama dengan pam (strew pump) berserta pembinaan konkrit di tebing Sungai Gersik.
“Tujuan projek ini adalah bertujuan untuk mengawal paras air sungai apabila berlakunya fenomena air pasang ataupun hujan lebat berpanjangan.
“Untuk ketika ini, projek ini telah mencapai 32 peratus dan kita menjangkakan berdasarkan projek pembinaan ini dapat memberikan manfaat kepada penduduk sekitar Gersik dan kawasan sekitar meliputi 18 hektar,” katanya kepada Wilayahku.
Tambahnya, pihaknya turut telah mengenal pasti beberapa kawasan hot spot yang berpotensi dilanda banjir antaranya di Rancha-Rancha.
“Selain di Gersik, antara salah satu hot spot kawasan berpotensi dilanda banjir adalah di Rancha-Rancha, kita kini sedang melaksanakan kerja menaik taraf sistem saliran air mesra alam dan membina longkang (U drain) bersama dengan rumah pam,” katanya.
Mengulas lanjut status hakisan pantai di pulau itu, beliau berkata pihak telah mengenal pasti beberapa kawasan yang mengalami hakisan menerusi beberapa tahap iaitu tahap 1 (kritikal), dua dan tiga.
Katanya, lebih 20 pantai di pulau bebas cukai kini diancam hakisan dengan dua daripadanya di tahap kritikal. – WILAYAHKU