Berita

Projek jalan pesisir pantai di Labuan diserah secara rasmi kepada Kementerian Kerja Raya

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 22 Januari 2024 8:50 PM MYT

PROJEK jalan pesisir pantai bernilai RM125 juta dari Membedai ke Tanjung Aru di sini telah diserahkan sacara rasmi kepada Kementerian Kerja Raya hari ini.

Jalan tersebut sebelum ini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan majlis serahan pemilikan aset jalan itu disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Objektif utama pembinaan jalan pesisir pantai sepanjang 4.8km ini adalah untuk menyediakan laluan alternatif menghubungkan wilayah utara pulau ke pusat bandar Labuan.

Nadi laluan penting itu menghubungkan Membedai dan Tanjung Aru, melalui pelbagai kawasan perumahan dan kampung termasuk Kampung Nagalang, Kampung Kerupang 1, 2, dan 3.

Jalan tersebut dibuka kepada orang ramai pada pada 1 Feb 2022 dan telah memberi manfaat kepada kepada sebahagian besar pengguna jalan raya pulau itu, terutamanya mereka di Kampung Tanjung Aru, Nagalang, dan Kerupang 1, 2, dan 3.

Ahmad berkata kementeriannya telah melantik sebuah syarikat konsesi baharu untuk penyelenggaraan jalan tersebut.

Beliau turut mengumumkan pelbagai peningkatan infrastruktur yang dijadualkan tahun ini di pulau bebas cukai itu termasuk penambahbaikan simpang tiga di Jalan Mohammad Salleh – Penghulu Tuah, dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM1.62 juta.

Selain itu, terdapat rancangan untuk menangani kebimbangan keselamatan di persimpangan Jalan Bebuloh – Jalan Kinabenuwa dengan peruntukan sebanyak RM350,000.

Cadangan penambahbaikan lain merangkumi pemasangan lintasan pejalan kaki dengan lampu isyarat (RM250,000) dan penambahbaikan di Jalan Bebuloh (Sekolah Kebangsaan Bebuloh)  berjumlah RM250,000.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan, Datuk Noridah Abdul Rahim berkata jalan pesisir pantai itu bukan sahaja meningkatkan ketersambungan Labuan tetapi juga mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Jalan Pohon Batu dan Jalan Tun Mustapha menuju ke pusat bandar. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas