PROJEK Dataran Kampong Bharu bakal dilaksanakan pada awal Mac 2024. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif pihak kerajaan dalam menjayakan semula Pembangunan Semula Kampong Bharu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, inisiatif tersebut dilaksanakan melalui penambahan fasiliti awam dalam memperkukuh infrastruktur komuniti di Kampong Bharu.
“Antaranya menaik taraf padang bola sepak kepada kondisi lebih baik, penyediaan tempat letak kenderaan, taman rekreasi serta gerai-gerai untuk kemudahan serta keselesaan orang ramai yang jelas mencerminkan usaha holistik pihak kerajaan,” ujar beliau ketika merasmikan Mini Festival Makanan dan Keseniaan Kampong Bharu yang diadakan di Medan Pintasan Saloma baru-baru ini.
Mengimbau kembali pada tahun 2016, Zaliha berkata penglibatan lebih 60 buah gerai dan food truck yang menyediakan juadah makanan Melayu menyaksikan Festival Makanan Melayu Kampong Bharu julung kali dianjurkan.
“Malah, sebuah aplikasi mudah alih dikenali sebagai Mobile Apps Kampong Bharu Food Haven juga pernah dilancarkan bagi memudahkan pencarian gerai pelbagai jenis hidangan di Kampong Bharu.
“Pada tahun ini, Mini Festival Makanan dan Kesenian Kampong Bharu kembali dengan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan makanan, kraf, persembahan kebudayaan serta pertandingan memasak antara kampung.
“Festival ini bukan sahaja membawa kegembiraan dalam kalangan pengunjung, malah memberi impak yang positif terhadap ekonomi tempatan. Ini lah yang saya katakan sebagai melestarikan pelancongan di Wilayah Persekutuan, yang merupakan satu daripada enam fokus utama Sejahtera @ WP, iaitu dengan meningkatkan tahap tourist experience journey yang akan memberikan pengalaman kepada pengunjung untuk kembali semula ke Kampong Bharu sebagai return tourist,” ujarnya.
Tambahnya mini festival tersebut juga menjadi wadah untuk menggalakkan kesedaran terhadap kekayaan warisan budaya yang menjadi kebanggaan serta memikat minat generasi muda untuk meneruskan warisan.
Zaliha berkata inisiatif ini dijalankan dengan hasrat untuk lebih mempromosikan Kampong Bharu sebagai destinasi gastronomi utama.
“Tapak Festival ini akan dikekalkan sebagai lokasi tetap untuk penganjuran program, festival dan acara secara berkala yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta badan bukan kerajaan (NGO).
“Festival tersebut turut membawa makna yang lebih mendalam, bertujuan untuk memperkuatkan komuniti tempatan, mewarisi nilai tradisi dari nenek moyang dan mengukuhkan ikatan ukhuwah di antara warga tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zaliha turut mengingatkan penduduk dan peniaga di Kampong Bharu untuk menjaga persekitaran dengan lebih teratur.
“Kita perlu memastikan premis kita kekal bersih bagi mencegah wujudnya haiwan perosak, tandas-tandas sentiasa dalam keadaan bersih dan meningkatkan cara penyajian makanan serta hiasan agar lebih menarik. Kebersihan tempat perniagaan kita akan menarik lebih ramai pengunjung.
“Sehubungan itu, tidak mustahil sekiranya satu hari nanti, kunjungan ke Kampong Bharu merupakan kemestian kepada pelancong-pelancong khususnya bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti,” ujarnya. – WILAYAHKU