PROJEK Perumahan Rakyat (PPR), Wangsa Sari, Wangsa Maju dipilih sebagai pusat Dapur Digital yang pertama di Malaysia.
Projek Dapur Digital adalah sebuah inisiatif bagi memperkasakan ekonomi B40, khususnya ibu tunggal dan belia wanita melalui inovasi ekonomi digital.
Majlis pelancarannya disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa baru-baru ini.
Menurut Zaliha, lima PPR di Kuala Lumpur sudah pun dipilih sebagai projek rintis dan akan dikembangkan ke PPR lain pada masa akan datang.
“Alhamdulillah dalam tempoh sebulan setengah, peserta Dapur Digital ini telah berjaya menjana pendapatan sehingga RM30,000 melalui platform digital seperti Shopee Food dan Grab Food.
“Saya optimis program ini berpotensi besar untuk membebaskan golongan yang memerlukan daripada kitaran kemiskinan melalui kaedah keusahawanan sosial,” katanya.
Kerjasama strategik sektor awam-swasta ini mendapat sokongan Kementerian Kewangan melalui Yayasan Hasanah dan Pepper Labs selaku penganjur utama.
Projek ini turut didukung Jabatan Wilayah Persekutuan melalui Program Usaha Jaya Insan (PUJI) dan kerjasama UNITAR yang memperkenalkan ‘micro credential’ bagi melengkap ekosistem program ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula bertanggungjawab menyediakan ruang untuk dapur digital ini.
Usahawan yang terlibat akan diberi latihan kemahiran masakkan dan pengurusan perniagaan daripada chef profesional dan mendapat sijil ‘micro-credential’ dari UNITAR.
Projek ini disasarkan untuk menjana pendapatan lebih RM1.2 juta dalam tempoh dua tahun dan ia akan membantu komuniti B40 meningkatkan pendapatan serta mengukuhkan ekonomi dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di bawah program Upaya@PUJl. – WILAYAHKU