PROJEK membaiki dan penambahbaikan sistem bekalan air di Labuan capai perkembangan positif dengan 35 peratus siap.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dengan usaha yang dilaksanakan kerajaan menerusi projek berskala besar itu berada di landasan tepat.
Jelas beliau bagi pelaksanaan projek itu Kerajaan MADANI memperuntukkan RM454.88 juta bagi menaik taraf dan pembinaan infrastruktur paip bekalan air sepanjang 106.7 kilometer di Labuan.
“Setakat ini, 37 kilometer atau 35 peratus daripadanya telah siap.
“Penambahbaikan ini membawa kesan yang positif, dengan aduan gangguan bekalan air berkurang sebanyak 46 peratus berbanding pada 2023,” katanya dalam ucapan sempena perasmian Karnival Sukan Wilayah Persekutuan peringkat Labuan di Kompleks Sukan Laut.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
Tambah Zaliha isu pembekalan elektrik di Labuan juga semakin stabil berbanding sebelum ini dengan dua projek ladang solar di Tanjung Kubong dan Kampung Bukit Kalam berkapasiti 15 megawatt telah siap sepenuhnya.
Ini katanya bagi menampung keperluan kapasiti bekalan elektrik dan kestabilan tenaga di pulau itu.
“Labuan memerlukan purata 70 megawatt bekalan elektrik sehari dan pembekalan yang dibekalkan pula adalah sehingga 100 megawatt. Alhamdulillah, keadaan pembekalan elektrik sekarang ini adalah lebih stabil, semakin membaik berbanding sebelum ini,” katanya.
Beliau turut mengulas cadangan pembinaan Jambatan Labuan- Menumbok sebagai satu ‘game changer’ kepada Labuan.
Katanya Kerajaan MADANI turut memfokus terhadap cadangan itu sebagai usaha meningkatkan sosioekonomi Labuan.
“Belanjawan 2025, sejumlah RM3 juta diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu.
“Walaupun ada kajian tersebut telah dilaksanakan sebelum ini namun kajian itu telah tamat tempoh dan tidak boleh dijadikan sebagai sandaran,” jelasnya.
Mengenai usaha lain dalam memacu ekonomi dan pembangunan Labuan, Zaliha menjelaskan pulau itu mempunyai potensi tersendiri dalam sektor pelancongan yang perlu dimanfaatkan dan menjadikan ia sebagai satu penggerak pembangunan tempatan.
Katanya tahun ini akan menyaksikan sektor pelancongan di Labuan akan menjadi sebagai sektor alternatif yang bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi tetapi sebagai penggerak pembangunan tempatan.
“Pada tahun ini, pelbagai acara menarik dan bertaraf antarabangsa akan dianjurkan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Labuan.
“Antaranya, buat pertama kali, kita akan menganjurkan Borneo Floral Festival atau singkatannya BFF sebagai satu daya tarikan pelancong yang mampu menjadikan Labuan sebagai destinasi pilihan pelancongan serantau,” katanya. – WILAYAHKU