KOMITMEN Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk memberikan pendidikan berkualiti tidak terbatas, malah akses bagi pelajar menyambung pengajian ke Universiti pilihan yang terbaik turut diperluas.
Usaha yang dirintis melalui Program World’s Top Universities (WTU) itu telah membuka laluan bagi pelajar melanjutkan pendidikan ke 30 universiti pilihan pelajar MARA sebelum ini, ditambahbaik dan diperluas kepada 50 universiti terbaik dunia.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun ketika mengulas lanjut berkata, penambahbaikan yang dilakukan dapat memperluaskan pilihan universiti terbaik bagi pelajar memilih bidang bersesuaian dan diminati untuk menyambung pengajian.
Beliau berkata, usaha tersebut juga diambil bagi penuhi trend dan permintaan tinggi permohonan pelajar melanjutkan pengajian ke negara seperti United Kingdom, Australia, Kanada dan lain-lain dengan mengambil kira kualiti pendidikan terbaik yang disediakan.
“Program WTU ini termasuk program pinjaman pelajaran MARA yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang bagi mengikuti pengajian ke peringkat ijazah pertama di universiti terbaik dunia.
“Penetapan universiti terbaik adalah berpandukan QS World University Rankings dikeluarkan oleh International Rangking Expert Group (IREG) dan Badan Profesional Malaysia berasaskan kepada universiti yang memiliki reputasi kebolehpasaran pekerjaan yang tinggi.
“Jadi program WTU ditawar secara terbuka untuk pelajar cemerlang yang telah pun lulus pengajian persediaan bagi International Baccalaureate (IB), A-Level, Foundation, Asasi, Diploma, Matrikulasi selain dibuka kepada pelajar sedia ada dan layak dengan baki pengajian paling minimum setahun,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Sementara itu, seiring bertambahnya senarai 50 universiti pilihan, MARA memutuskan tempoh permohonan pinjaman pelajaran program WTU dilanjutkan dari 29 Jun sehingga 8 Julai 2021.
Menurut Azizah, sehingga kini terdapat 3,569 pelajar tajaan MARA sedang mengikuti pengajian di luar negara termasuklah di beberapa universiti terbaik seperti University of Oxford, University of Cambridge, Imperial College London, University College London dan lain-lain lagi.

“Program pinjaman pelajaran MARA telah wujud sejak 1966 lagi dan merekodkan seramai 543,259 pelajar ditaja setakat ini .
“Bagi tahun ini, kerajaan memperuntuk sebanyak RM2 bilion di bawah program pinjaman ini dengan sasarannya 60,000 pelajar menerima manfaat skim pinjaman boleh ubah di universiti dalam dan luar negara. – WILAYAHKU