Berita

Program TVET percuma ditawarkan, jaminan anak muda tidak terpinggir

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 20 Februari 2025 8:36 PM MYT

PELBAGAI kementerian telah menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara percuma di beberapa institusi bagi memastikan golongan muda tidak terpinggir daripada arus pembangunan modal insan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia antaranya di GiatMara, Institut Latihan Kementerian Belia dan Sukan (ILKBS) serta Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

Sebagai contoh katanya, pelajar peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di ILJTM diberikan pembiayaan latihan secara percuma, yang merangkumi yuran latihan, kemudahan penginapan, makan minum serta elaun bulanan bagi memastikan mereka dapat menamatkan latihan tanpa bebanan kewangan.

“Inisiatif ini membolehkan mereka menyiapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memasuki pasaran pekerjaan,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai inisiatif kerajaan dalam memperkasa golongan muda yang berminat dalam pembelajaran berasaskan kemahiran melalui TVET.

Ahmad Zahid berkata, selain itu, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) menyediakan kemudahan pinjaman latihan kemahiran kepada pelajar yang mengikuti program TVET berasaskan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

Kemudahan ini katanya, disediakan kepada pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) hingga Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) yang menjalani latihan di Penyedia Latihan Awam (PLA) dan Penyedia Latihan Swasta (PLS) yang ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan berdaftar dengan PTPK.

“Pembiayaan ini membolehkan pelatih menampung yuran pengajian, elaun sara hidup, serta keperluan latihan lain, sekali gus memastikan mereka dapat menamatkan pengajian dengan lebih lancar tanpa kekangan kewangan,” katanya.

Beliau menambah, dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran pelatih TVET, kerajaan turut memperkenalkan program berbentuk latihan industri seperti Akademi Dalam Industri (ADI) dan Program Perantisan, yang membolehkan pelatih menjalani latihan secara langsung dalam industri sebenar.

Katanya, selain memperoleh kemahiran yang lebih praktikal dan relevan dengan keperluan pasaran kerja, mereka juga diberikan insentif elaun sepanjang tempoh latihan bagi membantu menampung kos sara hidup sepanjang tempoh latihan.

“Dengan adanya pelbagai inisiatif dan bantuan kewangan ini, kerajaan memastikan bahawa golongan muda yang memerlukan bantuan kewangan tidak dipinggirkan, malah diberikan peluang kedua untuk memperoleh kemahiran dan membina masa depan yang lebih baik melalui pendekatan TVET,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas