Berita

Program Temu DBKL dekati warga kota

- Diterbit 2 Ogos 2024 10:50 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menganjurkan Karnival Santai Keluarga 50WP bagi memperkukuh hubungan di antara pihak berkuasa tempatan itu dengan warga kota.

Karnival yang merupakan program kemuncak bagi sambutan 50 Tahun Wilayah Persekutuan itu dianjurkan bersama Program Temu DBKL @ Wangsa Maju selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Julai 2024 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Taman Tasik Danau Kota.

Aktiviti karnival pada 27 Julai dimulakan dengan acara Senandika Filantropi Alam dengan aktiviti seperti Konsert Puisi, Marathon Kucing serta Pameran Seni dan Kraf.

Pada 28 Julai pula, para pengunjung karnival disajikan dengan reruai perkhidmatan daripada pelbagai jabatan DBKL dan agensi luar yang terlibat secara langsung dalam memberikan perkhidmatan kepada komuniti di Parlimen Wangsa Maju serta seluruh warga Kuala Lumpur.

Karnival yang diadakan selama dua hari itu juga sarat dengan pelbagai aktiviti menarik seperti Sarapan Pagi Sihat @ WPKL, Jualan Agro MADANI, Jualan KL Street Food, Program Kebun Komuniti dan Jualan Kebun Bandar LA21 serta Pertandingan Dikir Barat Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur 2024. Selain itu, turut diadakan aktiviti sukan seperti wall climbing, pertandingan memancing serta banyak lagi.

Bersempena karnival ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di seluruh kawasan Kuala Lumpur.

“Pihak DBKL akan mengedarkan lebih 40,000 Jalur Gemilang secara percuma kepada penduduk di sekitar ibu negara melalui Kempen Kibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan kemerdekaan. Ia juga adalah sebagai satu galakan dan inisiatif kepada penduduk di Kuala Lumpur untuk mengibarkan 1 Jalur Gemilang bagi setiap rumah.

“Kempen bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka itu bertujuan untuk meningkatkan rasa kebersamaan dan mewujudkan rasa bangga dalam setiap jiwa rakyat.

“Kita akan keluarkan lebih 40,000 bendera untuk diedarkan kepada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, Majlis Perwakilan Penduduk, persatuan penduduk dan institusi pendidikan di sekitar Kuala Lumpur dan mereka boleh mengambil kesempatan mengibarkan Jalur Gemilang menuju ke tarikh 31 Ogos ini untuk menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia kali ke-67,” katanya ketika ditemui pada Karnival Santai Keluarga 50WP dan Program Temu DBKL @ Wangsa Maju pada Ahad.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr Kamarulzaman Mat Salleh; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ts Zahir Hassan.

Dalam masa sama, Zaliha berkata program di lapangan yang dianjurkan pihak DBKL itu adalah satu inisiatif ‘outreach’ yang patut diberikan pujian kerana ia dilihat dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman warga kota mengenai produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.

“Program bersama warga kota ini dapat beri ruang untuk penjawat awam bekerja secara produktif dalam menyampaikan perkhidmatan, bukan setakat hanya berkunjung ke pejabat dan sebagainya.

“Ia akan memberi kesan kepada tatakelola yang baik kerana saya faham di mana-mana sahaja pasti ada proses birokrasi yang berlapis-lapis yang mungkin sedikit menyukarkan rakyat untuk berurusan. Perjumpaan agensi dengan penduduk secara terus di lapangan secara tidak langsung dapat memudahkan urusan setiap orang kerana ia terus dilaksanakan.

“Jika ke pejabat dengan ruang lingkup yang terhad akan perlu mengambil proses yang lama. Tapi apabila kita merakyatkan penduduk dengan cara begini, setiap agensi yang turun padang juga dapat perkenalkan produk mereka kepada setiap orang,” ujarnya.

Pelbagai program telah dirangka DBKL sepanjang Bulan Kebangsaaan termasuk kempen dan pertandingan kibar Jalur Gemilang serta pertandingan pencahayaan untuk bangunan-bangunan di sekitar Kuala Lumpur.

Zaliha juga memaklumkan pengedaran Jalur Gemilang itu akan turut diperluas ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Pada program itu juga, 10 pemenang Pasport 50WP yang berjaya melengkapkan cabaran 50 lokasi tempat menarik diumumkan dengan pemenang utama menerima ganjaran wang tunai bernilai RM20,000.

Program berkenaan menerima 7,750 penyertaan dan ia memberi peluang kepada peserta untuk meneroka serta merakamkan gambar di lokasi serta destinasi menarik dan bersejarah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sementara itu, penganjuran karnival ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak seperti Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Wangsa Maju, agensi-agensi kerajaan dan swasta seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seterusnya, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta sembilan sekolah menengah di sekitar Wangsa Maju juga turut terlibat bagi menjayakan aktiviti-aktiviti sepanjang karnival ini berlangsung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas