Berita

Program Teach The Needs 6.0: Bantu pelajar SPM skor subjek teras

- Diterbit 22 Disember 2023 10:30 AM MYT

PENUBUHAN Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM) di bawah inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bukan sahaja mampu menangani gejala sosial bahkan memudahkan komuniti melaksanakan aktiviti bermanfaat.

Terbaharu, 30 pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan lokasi PREPKOM di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang menganjurkan Program Semarak Siswa Madani: Teach The Needs 6.0 bersama 33 pelajar sekolah menengah.

Pengarah Projek, Nurul Ain Nabila Mohamad Sallih, 20, berkata pelajar tingkatan tiga hingga tingkatan lima yang terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) diberi latihan pembelajaran secara percuma bagi subjek sains dan matematik.

NURUL AIN

“Dua subjek ini merupakan mata pelajaran teras yang perlu dikuasai oleh pelajar, jadi kami mengambil langkah membantu menyediakan beberapa modul latihan asas bersama topik-topik skor dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ia sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan SPM di samping meningkatkan komunikasi antara pelajar UPM sendiri dengan komuniti yang berbeza peringkat umur,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Nurul Ain, hasil daripada sesi perkongsian ilmu dan latihan mendapati tahap penguasaan para pelajar bagus namun ia perlu ditingkatkan pada masa hadapan.

“Objektif kami terbahagi kepada dua iaitu ingin membina modul tambahan dan mahu meningkatkan tahap penguasaan mereka terhadap sesuatu subjek tersebut.

“Bagi pelajar universiti atau sukarelawan terlibat, program ini dapat membantu mengembangkan kemahiran komunikasi dan meningkatkan rasa kesukarelawanan di dalam diri seseorang individu.

“Ia juga memberi idea kepada kami selaku para sukarelawan UPM untuk membina sebuah modul mengikut tahap kemampuan dan penguasaan pelajar terhadap sesuatu subjek.

“Modul ini dibuat berdasarkan survey yang kami laksanakan pada dua minggu sebelum penganjuran program yang turut melibatkan kerjasama PREPKOM,” katanya program ini juga turut disertai oleh para pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM).

Terdahulu, Program Teach The Needs 6.0 anjuran Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee di bawah Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti dengan kerjasama YWP dan PREPKOM. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas