KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan agensi-agensi terlibat untuk menangani isu gangguan, penderaan dan ucapan kebencian dalam sukan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ia berikutan lonjakan gangguan dalam talian yang dilaporkan semasa berlangsung temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris baru-baru ini.
“Terdapat keperluan untuk menangani buli siber dari akar umbinya dengan melaksanakan program pendidikan di sekolah-sekolah dan arena sukan.
“Program ini akan membantu menyedarkan orang ramai mengenai kesan serius buli siber terhadap kesihatan mental dan semangat kesukanan,” katanya semasa menghadiri Sukan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Padang Brainy Bunch Melawati pada Ahad.
Beliau berkata inisiatif itu, khususnya melalui program kesedaran yang menyasarkan sekolah dan acara sukan bertujuan mendidik masyarakat mengenai kesan buli siber terhadap atlet, peminat dan penyokong.
“Selain itu kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk meminda Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan untuk mentakrifkan buli siber dan bentuk gangguan lain secara lebih terperinci.
“Kita harap pindaan akan diluluskan dalam persidangan Parlimen semasa. Namun ia mungkin mengambil masa untuk orang ramai memahami cara undang-undang ini dikuatkuasakan,” ujarnya.
Fahmi berkata langkah konkrit perlu dilaksanakan bagi memastikan agensi berkaitan dapat bertindak balas secara berkesan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan media dalam talian.
“Sebaik sahaja undang-undang ini dikuatkuasakan diiringi dengan program-program kesedaran, kita percaya ia akan membantu mengurangkan kemungkinan kejadian pelanggaran undang-undang berkaitan media dalam talian ini,” ujarnya.
Sementara itu, beliau yang juga merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata penganjuran Sukan HAWANA akan diterapkan ke dalam Kalendar HAWANA mulai tahun depan.
“Kejohanan tahunan itu akan membabitkan skala lebih besar dengan penyertaan ramai pengamal media termasuk dari negeri-negeri lain selain memperkenalkan sukan tradisional seperti karom dan dam aji.
“Ia tidak semestinya perlu membabitkan acara di atas padang saja. Jadi ini antara sebahagian permainan tradisional yang mungkin boleh dimasukkan.
“Untuk itu, saya akan meminta pasukan saya melihat apa acara sukan lain yang boleh dimasukkan bagi penganjuran tahun depan,” ujarnya.
Sebagai rekod, HAWANA pertama kali disambut 11 April 2018 dikelolakan BERNAMA selaku agensi pelaksana acara tahunan.
Ia bertujuan meraikan jasa dan pengorbanan komuniti media serta mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara selain menjadi platform untuk mereka berkumpul dan membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi industri. – WILAYAHKU