PELBAGAI usaha dilakukan bagi memberi pendedahan tentang kesenian warisan negara dalam kalangan komuniti antaranya melalui Program Semarak Siswa Madani pada 25 dan 26 lalu.
Diadakan di Pusat Pemerkasaan Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) Perumahan Awam Seri Tioman 1, Taman Melati, program bertemakan Kenali Warisan Budaya Kita itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik khusus buat komuniti dan pelajar sekolah rendah menerusi kerjasama PREPKOM di Projek Perumahan Rakyat (PPR) berkenaan.
Ia melibatkan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee.
Pengarah Program, Nurul Najihah Zulkifli berkata kesenian warisan budaya Malaysia terdiri daripada pelbagai kategori dan program yang diadakan membantu memartabatkan kembali seni warisan tersebut.

“Pada pandangan saya, generasi tua mahupun muda masa kini sememangnya kurang didedahkan dengan aspek seni budaya negara misalnya dari segi tarian, makanan, pakaian, kraf tangan dan sebagainya.
“Program seumpama ini tidak hanya memberi manfaat kepada komuniti di PPR malah ia juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar UPM khususnya daripada Sekretariat Sukarelawan untuk mendekatkan diri serta mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat.
“Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PREPKOM YWP Cawangan Seri Tioman 1, di atas peluang yang diberikan kepada kami dan diharapkan agar kerjasama baik ini akan berterusan untuk program-program yang akan datang,” jelas pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Dietetik (Kepujian) ini.
Antara aktiviti yang diadakan adalah tarian asas inang, sukaneka, gotong-royong, pameran, jualan dan aktiviti mencanting batik, mewarna dan kraf tangan bersama anak-anak sekolah rendah di PPR.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan merangkap Pengetua Kolej Tan Sri Mustaffa Bebjee, Profesor Madya Dr Jasronita Jasni bangga dengan usaha yang ditampilkan setiap pelajar kolej berkenaan.
“Semoga jaringan kolaborasi di antara UPM, PREPKOM dan YWP ini akan berterusan agar kita dapat melaksanakan pelbagai lagi program khusus buat masyarakat,” katanya.
Terdahulu, program tersebut turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Surau Darussalam dan Kelab Wanita Perkasa Sri Tioman 1.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Besar Jabatan Komuniti, Komunikasi Strategik dan IT YWP, Datin Dr Ida Harlina Ikhwan Nasir dan diiringi Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Tioman 1, Yusoff Khan Guldad. – WILAYAHKU