Berita

Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri 2, syukur rumah pusaka kembali bersinar

AZLINA, WAN AZIZAH (dua dari kanan) melihat keadaan siling rumah Azlina yang dibaik pulih. Turut sama, Azman (kanan).
- Diterbit 26 Oktober 2023 9:55 PM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM

AIR mata syukur ­mengalir sebaik sahaja penjual kuih, Azlina Hamzah, 48, menerima kunci rumah yang telah diubah suai dengan wajah baharu menerusi Program Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri kedua di bawah inisiatif Parlimen Bandar Tun Razak (BTR) dengan kerjasama Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak.

Bagaikan mimpi, dia tidak menyangka rumah pusaka yang diduduki berpuluh tahun bersama keluarga tersayang berubah menjadi lebih cantik dan selesa berbanding sebelum ini.

“Sukar hendak digambarkan perasaan ini. Dalam tempoh sebulan segalanya berubah, rumah yang dahulunya sering bertakung air disebabkan atap rumah bocor kini bertukar menjadi cantik, luas, selesa dan bersih.

“Sungguhpun begitu, saya sebak kerana arwah mak dan abang tidak sempat melihat rumah yang sudah cantik ini. Saya masih ingat lagi ketika arwah abang masih ada, saya pernah memarahinya kerana dia membiarkan rumah ini kotor dan tidak terjaga tetapi saya tidak sepatutnya membuat sebegitu kerana dia menderita penyakit kanser usus.

AZLINA

“Tambahan pula, adik yang turut sama duduk di rumah ini pun kurang sihat. Apa-apa pun, ini hadiah untuk arwah mak dan abang selain hadiah ulang tahun kelahiran saya juga,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kasih Harapan Kak Wan Siri Kedua di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Turut hadir ketika merasmikan rumah itu adalah Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Ketua UMNO Bahagian Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Azlina berharap agar rumah ini mampu memberi sinar baharu buat dia sekeluarga selain membantu memulihkan semula masalah gangguan emosi yang dialami adiknya sejak 2006 yang lalu.

“Adik saya sangat gembira selepas melihat keadaan rumah ini.Beberapa sudut rumah yang dahulunya banyak kerosakan juga telah dibaiki seperti siling, paip bocor dan lain-lain.

“Saya mewakilinya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pihak yang sudi membantu membaik pulih rumah ini,” katanya sebak.

Sementara itu, Wan Azizah berkata rumah tersebut merupakan rumah kedua yang dibantu selepas siri pertama Program Rumah Kasih Harapan yang turut memberi nafas baharu kepada peserta, Hamidah Moin di Apartmen Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, Cheras pada Mei lalu.

“Melalui pengubahsuaian ini, ia menunjukkan kita komited dalam membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat terutama warga Bandar Tun Razak yang kurang berkemampuan atau miskin bandar untuk mendapatkan sebuah rumah yang dilengkapi suasana lebih indah.

“Tiada sasaran dalam inisiatif ini kerana kita hendak mencari orang yang betul-betul memerlukan bantuan, jadi kadang-kadang saringan ini akan mengambil masa dan ada kekangan daripada kontraktor namun kita akan terus cuba membantu,” katanya kos pengubahsuaian unit rumah Azlina menelan kos sebanyak RM30,000 hasil tajaan daripada pelbagai pihak swasta, pengilang, pemaju perumahan dan lain-lain.

Terdahulu, Program Rumah Kasih Kak Wan mula diperkenalkan pada Mac 2023 dengan tujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan keluarga miskin yang mempunyai rumah sendiri untuk dibaik pulih bagi memberi kesempurnaan dan keselesaan.

Kediaman itu dipilih susulan tinjauan dan walkabout yang dilaksanakan beliau bersama Azman. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas